Wanita itu bukan ibu kandung mangsa

707 views

Wanita itu bukan ibu kandung mangsa|Tampin: Budak lelaki yang ditemui ditinggalkan dalam sebuah rumah sewa di Kampung Parit Buluh, Air Kuning Selatan, Gemencheh, di sini, dipercayai bukan anak kepada wanita yang disangka ibunya.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, wanita berusia 36 tahun terbabit mendakwa Muhamad Adam berusia tiga tahun bukan anaknya tetapi anak rakannya.
Menurutnya, penemuan terbaru dalam siasatan mendedahkan wanita itu bukan ibu kandung mangsa tetapi berkemungkinan suspek mengambil upah menjaga kanak-kanak itu.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesahkan perkara itu. Setakat ini, kita belum mengenal pasti identiti ibu sebenar mangsa. Kita perlu memanggil beberapa saksi untuk diambil keterangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berkemungkinan akan melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) apabila ibu sebenar mangsa sudah dikenal pasti.

Muhamad Adam ditemui ditinggalkan di rumah itu dalam keadaan berbogel dan kelaparan selepas penduduk kampung terdengar tangisannya, jam 12.45 tengah malam, Jumaat lalu.

Tags: #Anak #Bukan #Ibu’ #Kampung Parit Buluh

loading...