UPSR BOCOR: Hanya Guru Sekolah Yang Terlibat – Zahid

500 views
PUTRAJAYA: Anggota polis membawa dua individu terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita untuk perintah reman di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini berhubung kes kebocoran soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris yang menjadikan jumlah tangkapan seramai 12 orang setakat ini. – Foto Bernama



PUTRAJAYA – Kes kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hanya melibatkan serangkaian guru-guru sekolah dan bukan sindiket jenayah, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada guru-guru yang ditahan polis sebelum ini berhubung kes kebocoran itu mempunyai hubungan antara satu sama lain.

“Kita dah tahan beberapa individu dan apa yang diperoleh polis adalah mereka ini terlibat dalam bidang pendidikan di peringkat sekolah rendah.

“Berdasarkan maklumat dari siasatan yang telah dilakukan, ia melibatkan hanya individu tetapi ada kemungkinan rangkaian dalam kalangan mereka untuk beri kemudahan menjawab soalan kepada kumpulan tertentu,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Polis Palestin Mej Jen Hazim Atallah di pejabatnya di sini, hari ini.

Menteri itu mengesahkan akan ada lagi tangkapan baharu berhubung kes itu dalam kalangan warga pendidik.

“Tangkapan lain ada…tidak libatkan VIP tetapi warga pendidik iaitu guru sekolah dan guru besar dan rangkaian ini dalam kalangan mereka sahaja…kita juga akan siasat sama ada individu yang sama melakukan kebocoran pada tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Setakat semalam, polis telah menahan 12 individu terdiri daripada 10 guru, seorang ejen insurans dan seorang jurutera bagi membantu siasatan kes kebocoran kertas peperiksaan itu manakala 18 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Berikutan kebocoran itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan setelah murid mendudukinya Khamis lepas manakala kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 terpaksa ditangguhkan sebelum pelajar mendudukinya pada hari yang sama.

Lembaga Peperiksaan Malaysia menetapkan 30 September sebagai tarikh baharu peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran itu.

Sementara itu semasa diminta mengulas tindakan anggota Parlimen Kuching Chong Chieng Jen yang mempertikaikan lagu kebangsaan Negaraku dimainkan di panggung wayang, Ahmad Zahid berkata beliau seharusnya menghormati lagu kebangsaan.

“Adakah dia anggap Malaysia sama taraf dengan komunis…dia sebagai ahli politik biarpun berbeza parti dia patut hormat lagu itu. Dia patut tahu bezakan pegangan politik dan ketaatan kepada negara apatah lagu itu lagu kebangsaan.

”Saya sukacita apabila dia tarik balik dan memohon maaf bermakna dia ada kesedaran atas kesalahan yang dilakukannya,” katanya.

Chong baru-baru ini didakwa mempertikaikan lagu Negaraku yang dimainkan di pawagam dalam akaun Facebooknya, telah mendapat kritikan pelbagai lapisan masyarakat sehingga membuatkan beliau akhirnya memohon maaf secara terbuka di Facebook dan menarik semula status tersebut. – Bernama

Tags: #Bocor #guru #Hanya #Sekolah #Terlibat #UPSR #Yang #Zahid