Tutup mayat ayah dengan daun pisang

1463 views

Tutup mayat ayah dengan daun pisang|Tidak dapat ditahan perasaan sedih seorang anak apabila terpaksa menutup mayat ayahnya dengan daun pisang yang dikutip dari bahu jalan sementara menunggu bantuan tiba.

Tuai Rumah, Baki Agok, 72 tahun maut di tempat kejadian di Jalan Skim Bintangor Sarawak di sini pagi tadi selepas terlibat kemalangan bersama isterinya Menun Amirir, 67 tahun.

Bagaimanapun, Menun cuma megalami kecederaan patah kaki kanan.

Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri Superintendan Alexson Naga Chabu ketika dihubungi berkata, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan ke pasar di pasar Bintangor sebelum terlibat kemalangan jam 7.20 pagi.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa menunggang motosikal jenis Modenas CT100 cuba memotong kenderaan lain di hadapannya.

Malangnya, kata Alexson, cubaan memotong mengundang tragedi apabila bertembung Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan.

“Impak pelanggaran menyebabkan Baki terkorban di tempat kejadian dipercayai akibat cedera parah,” katanya sambil menambah, isteri mangsa telah dikejar ke Hospital Sarikei untuk menerima rawatan lanjut.

Bagaimanapun pemandu Hilux berusia 38 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan membantu siasatan.

Menurutnya kes kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -HM