Tiga sekawan maut di panah petir

556 views

Tiga sekawan maut di panah petir|Tiga lelaki warga asing yang dipercayai disambar petir ditemui maut dalam keadaan bertindih antara satu sama lain di sebuah kebun durian di Sungai Pertang di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kesemua mangsa disyaki warga Indonesia itu ditemui orang awam dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi.

“Kesemua mangsa Nor, 40; Amat, 40 dan seorang lagi yang masih belum dikenali dijumpai di kawasan seperti khemah kanvas yang dipercayai dijadikan tempat tinggal dan terdapat kesan melecur dipercayai kesan terbakar akibat panahan petir pada belakang badan mereka.

“Khemah kanvas itu didirikan di bawah pokok durian dan pokok itu mempunyai kesan seperti terbelah dari atas ke bawah dipercayai juga akibat panahan petir,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kawasan kebun durian dimiliki lelaki Cina seluas kira-kira 2.8 hektar itu terletak hampir 200 meter dari jalan utama.

 

“Siasatan awal, ketiga-tiga mangsa tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan mereka bekerja di tempat lain serta menggunakan lokasi kebun itu sebagai tempat tidur.

“Saksi-saksi terdiri daripada warga Indonesia lain yang tinggal berdekatan dengan lokasi kejadian akan dikesan bagi mendapatkan keterangan mengenai butir diri ketiga-tiga mangsa termasuk keterangan pemilik kebun tempat kejadian,” katanya.

Wan Zahari berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raub untuk dibedah siasat dan pihaknya juga akan bekerjasama dengan kedutaan Indonesia bagi urusan pengurusan jenazah dan mendapatkan butir-butir lengkap maklumat mangsa.

Tags: #Tiga sekawan maut di panah petir