Tiga maut dalam kemalangan ngeri 3 kenderaan

235 views


Tiga maut dalam kemalangan ngeri 3 kenderaan|TIGA lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Karak-Temerloh berhampiran Batu 7, Temerloh, hari ini.

Dalam kejadian 9.14 pagi itu, dua lelaki turut parah, manakala seorang wanita dan kanak-kanak cedera.

Bagaimanapun identiti kesemua mangsa masih belum dikenal pasti.

Timbalan Pengarah Bomba Pahang, Mohd Sani Harul berkata, kemalangan membabitkan treler, pacuan empat roda Toyota Hilux dan kenderaan pelbagai guna Proton Exora.

“Mangsa yang maut adalah dua penumpang Proton Exora dan pemandu Toyota Hilux.

“Ketiga-tiga mangsa maut akibat tersepit dalam kenderaan masing-masing,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba terpaksa menggunakan pemotong hidraulik bagi mengeluarkan mangsa.

Katanya, mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Mangsa yang parah dan cedera dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk rawatan lanjut,” katanya.