Tergamak Rogol Anak Jiran Berusia Lapan Tahun

532 views

rogSeorang remaja lelaki tergamak merogol kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang juga anak jirannya ketika kehadiran Syawal masih disambut umat Islam pada 20 Julai lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang di sebuah felda, mangsa bersama adik lelakinya berusia empat tahun keluar berjalan kaki ke kedai runcit berhampiran untuk membeli makanan ringan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman berkata, ketika sedang berjalan pulang, mangsa telah ditahan oleh suspek berusia 22 tahun yang dikenali sebagai jiran sebelah rumahnya sebelum menyuruh adik mangsa pulang sendirian ke rumah.

“Suspek kemudiannya bertindak menarik kanak-kanak malang itu masuk ke dalam rumah sebelum menekup mulut dan merogol mangsa yang turut diancam jika menjerit.

“Ketika kejadian suspek hanya tinggal berseorangan kerana keluarganya pergi beraya ke Terengganu dan kesempatan tersebut digunakan untuk merogol mangsa di dalam rumahnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Yahaya berkata, kejadian itu kemudiannya disedari pengadu iaitu bapa mangsa yang berada di rumah dan melihat mangsa pulang dalam keadaan menangis serta mengadu kesakitan.

“Ketika ditanya mangsa mengadu telah dirogol oleh suspek dan terdapat kesan darah di kemaluan mangsa selepas diperiksa ibunya.

“Suspek yang dikesan memiliki rekod jenayah sama (rogol) namun menghilangkan diri tiga tahun lalu berjaya diberkas sejurus laporan kes berkenaan diterima dan kini ditahan reman bagi siasatan di bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan,” katanya. – Sinar Harian