Tangkapan Disahkan Tapi….

654 views

 

Tangkapan Disahkan Tapi….|Satu gambar lelaki kononnya adalah suspek utama kes pembunuhan pensyarah warga Palestin di hadapan Kondominium Idaman Puteri, Jalan Meranti, Gombak, dikesan mulai tersebar dalam laman sosial sejak malam tadi.

Bagaimanapun, lelaki dalam gambar berkenaan bukanlah ditahan atas kes pembunuhan itu, sebaliknya ditahan dalam serbuan kes rampasan senjata api dan dadah di OUG Parklane, Jalan Puchong, di sini, Jumaat lalu.

 

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata pihaknya mengesahkan ada menahan seorang lelaki berhubung kes berkenaan, namun sudah dibebaskan petang semalam.

“Apa yang dapat saya sahkan kita ada menahan seorang lelaki warga India di kondominium sama pada 1.45 petang semalam, bagi tujuan proses dokumentasi dan dia sudah dibebaskan.

“Justeru, lelaki yang kita tahan sebenarnya bukanlah individu yang sama seperti dalam gambar lelaki yang tersebar dalam laman sosial berkenaan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau berkata tiada sebarang rampasan senjata api atau pun dadah yang dilakukan semasa pihak polis menahan lelaki warga India terbabit.

“Kes pembunuhan ini adalah satu kes yang tidak dapat saya ulas lebih lanjut kerana dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan.

“Tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat tidak benar sebenarnya boleh menyebabkan siasatan terganggu,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan maklumat sumber, lelaki yang gambarnya tersebar ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, berdasarkan maklumat senjata api.

Hasil serbuan berkenaan, polis merampas sepucuk pistol bersama megazine tanpa peluru; 9 butir peluru; wang tunai; 13 paket lutsinar mengandungi ganja; tiket penerbangan milik suspek.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada membuat tangkapan terhadap seorang lelaki berhubung kes senjata api yang dilakukan pihaknya.

Dalam kejadian sekitar 6 pagi semalam, pensyarah warga Palestin itu ditembak dua suspek menaiki motosikal berkuasa besar jenis BMW GS, ketika mangsa sedang berjalan kaki menuju ke surau berhampiran, tidak jauh dari pintu masuk hadapan kondominium berkenaan.

Mangsa yang ditembak lebih 10 das tembakan disahkan maut di tempat kejadian.

Tags: #imam #Palestin #Suspek #Tembak