Tak Sempat Tengok Bayi Ketiga

1122 views

Tak Sempat Tengok Bayi Ketiga|Isteri kepada nelayan yang dikhuatiri lemas di perairan Kuala Kedah Sabtu lalu, selamat melahirkan bayi lelaki di Hospital Sultanah Bahiyah, malam kemarin

Hamidah Zakaria, 27, turut menunggu di jeti berkenaan ketika operasi pencarian suaminya, Shukri Md Rashid, 30, yang dikhuatiri lemas selepas keluar mencandat sotong di perairan Kuala Kedah Sabtu lalu.

Operasi pencarian bermula 7.30 malam hari sebelum Hamidah mengalami kesakitan hendak bersalin kira-kira 9 malam.

Mangsa dihantar ke HSB dengan bantuan anggota bomba menaiki jentera perkhidmatan perubatan kecemasan (EMRS).

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Penguasa Bomba Shuib Idris berkata, mangsa dihantar ke hospital pada 9.08 minit malam selepas mengalami sakit tanda hendak bersalin.

Beliau berkata, mangsa selamat bersalin bayi lelaki seberat 3.56 kilogram di hospital pada 9.47 malam.

Sementara Operasi mencari suami berakhir pada keesokan harinya apabila mangsa ditemui terapung berdekatan Pulau Songsong, Yan, pada 8.30 pagi ini, kira-kira 19 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah.

Bapa mentua mangsa, Zakaria Yunus, 48 tahun, ketika ditemui Bernama di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berkata dia reda menerima berita kematian Shukri Abd Rashid, 30, itu.

“Saya hilang menantu, tetapi Allah SWT gantikan dengan cucu baharu. Rencana Allah itu kita kena terima,” katanya, merujuk kepada anak perempuannya Hamidah, yang baru tiga hari lalu melahirkan anak lelaki ketiganya.

Zakaria berkata memandangkan emosi Hamidah, 25 tahun, masih belum stabil, dia akan membawa pulang anaknya itu dan dua lagi cucunya ke rumahnya di Taman Nilam,Langkawi.

“Lagipun dia masih berpantang dan di sini tiada siapa yang dapat menjaganya. Jadi, ada baiknya saya membawanya pulang ke Langkawi kerana di sana ramai yang boleh menjaganya serta cucu-cucu saya itu,” katanya.

Beliau berkata jenazah menantunya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kedah sebaik saja selesai urusan bedah siasat.

Sementara itu Hamidah yang turut berada di Unit Forensik berjanji akan menjaga amanah arwah suaminya itu dengan baik.

“Saya masih cuba menerima hakikat ini manakala anak-anak akan saya jaga dengan baik. Mungkin selepas ini saya akan pulang ke Langkawi dan tinggal di sana,” katanya.

Tags: #Tak Sempat Tengok Bayi Ketiga