Suspek Gelisah Selepas Bunuh

559 views

Suspek Gelisah Selepas Bunuh|GURU wanita mendakwa suspek kelihatan gelisah selepas dipercayai membunuh pembantu tadbir wanita di sebuah kolej kemahiran di Banting.

Dia yang enggan dikenali berkata, lelaki itu kebiasaannya bersikap peramah dan kerap berbual-bual dengannya.

“Namun, ketika memasuki pejabat kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi, dia (suspek) hanya menundukkan kepala apabila saya bertanya di mana Pengarah (kolej) sambil menunjukkan ke arah bilik.

“Dia dilihat seolah-olah memikirkan sesuatu yang mahu dilakukannya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa yang juga ketua kerani di kolej itu dianggap pekerja yang baik dan komited.

“Suspek juga seorang yang ceria dan rajin menegur semua guru, dan kami sememangnya terkejut dengan kejadian ini,” katanya.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mayat mangsa, Zaimah Mahmod, 57, ditemui di stor pejabat kolej berkenaan akibat dicekik dan ditikam dengan pisau oleh suspek, 28, yang juga rakan sekerjanya.

Usaha NSTP untuk menemubual keluarga mangsa, bagaimanapun gagal.

Wanita yang berasal dari Terengganu itu adalah ibu tunggal dan bertugas di kolej berkenaan sejak 18 tahun lalu.