Sukan Asia: Buruan pingat Malaysia terhenti pada hari ke-12

366 views



INCHEON: Buruan pingat Malaysia terhenti pada hari ke-12 apabila acara terjun dan perahu layar gagal membutirkan sebarang pingat pada temasya Sukan Asia ke-17 di sini, hari ini.

Berbekal hanya himpunan empat emas dan hanya tinggal tiga hari lagi untuk meneruskan cabaran, sasaran lapan emas oleh kontinjen negara boleh disifatkan tersasar apabila kebanyakan acara harapan emas sudah selesai.

Penerjun negara pulang dengan tangan kosong pada hari ketiga acara itu apabila Cheong Jun Hoong, Nur Dhabitah Sabri, Ooi Tze Liang dan Ahmad Amsyar Azman sekadar menduduki tangga kelima dan keenam dalam acara 1 meter papan anjal individu lelaki dan wanita.

Turut menghampakan adalah pelayar negara, Jeremy Koo bersama krunya Looi Sing Yew, Mohamed Fauzi Mohamed Mustafa dan Ong Khong Shing yang beraksi dalam acara bot kelas J8 terpaksa berpuas hati di tempat keempat selepas melengkapkan perlumbaan ke-72.

Walaupun boling masih menjadi sandaran namun acara Masters pada saingan blok kedua esok, sukar untuk merangkul emas kecuali sesuatu keajaiban berlaku di lorong.

Bagaimanapun, harapan negara untuk menambah bilangan emas kini bergantung kepada acara karate yang akan membuka gelanggang, hari ini di samping acara terjun yang masuk hari keempat mampu memberikan sinar baharu kepada kontinjen negara.

Pungutan empat emas negara mungkin berubah sekiranya Malaysia gagal dalam rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung langkah Majlis Olimpik Asia (OCA) melucutkan emas atlet wushu negara, Tai Cheau Xuen kerana kesalahan doping. – BERNAMA

Tags: #Asia #Buruan #Hari #ke12 #Malaysia #Pada #pingat #Sukan #terhenti