Suami Tetak Bini Merajuk

883 views

Suami Tetak Bini Merajuk|Seorang wanita Orang Asli menerima tiga jahitan di kepala selepas ditetak suami dipercayai berang kerana meninggalkan rumah sejak beberapa hari lalu.

Mangsa, Ramliah Along, 24, dari Kampung Selyeh, Pos Blau, dikatakan meninggalkan rumah selepas mengetahui suaminya, Mat Rahim, 28, berkahwin lain.

Menurut saksi yang juga sepupu mangsa, Aboy Angah, 46, suspek datang mencari isterinya di rumah kakak mangsa pada jam 12 tengah hari tadi dan terus menetak kepala dari arah belakang.

“Akibat tetakan itu, mangsa rebah dan tidak sedarkan diri. Beberapa minit kemudian, Ramliah sedar dan kami terus bawanya ke Hospital Gua Musang kerana berlaku pendarahan di kepala dan bahu.

“Saya tak sangka suspek akan bertindak sedemikian kerana pada awalnya dia tidak menunjukkan sebarang reaksi pelik.

“Selepas menetak isterinya, suspek terus melarikan diri,” katanya yang turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), hari ini.

Dalam pada itu, Ramliah mendakwa, sebelum ini suaminya sering mabuk dan memukulnya berkali-kali tanpa sebab.

“Saya tak tahan kena pukul, jadi saya balik ke rumah ibu bapa saya. Malah, saya turut diberitahu kenalan bahawa suami sudah berkahwin sejak dua bulan lalu.

“Saya ingat dia datang mahu pujuk saya untuk pulang, namun dia bertindak begini. Saya trauma dan takut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin mengesahkan laporan polis yang dibuat mangsa.

Sehubungan itu katanya, suspek diminta tampil ke balai bagi membantu siasatan.

Tags: #Suami Tetak Bini Merajuk