Sony Unjur Kerugian RM6.84 Bilion, Impak Persaing Apple & Samsung

566 views

SONY-BROKE

Sony mengumumkan ia berkemungkinan rugi AS$ 2.14 bilion (RM6.84 bilion) pada tahun kewangan semasa berakhir Mac 2015 susulan penurunan ketara dalam perniagaan telefon mudah alih.

Memetik laporan AFP, kerugian yang dijangkan oleh gergasi elektronik Jepun ini adalah empat kali lebih teruk dari unjuran sebelumnya.

Sehubungan itu, Sony berkata syarikatnya akan mengurangkan 15 peratus atau kira-kira 1,000 kakitangan daripada unit pengeluaran telefon pintar serta tidak membayar dividen buat kali pertama sejak sahamnya diniagakan di Bursa Saham Tokyo pada 1958.

Sony turut menurunkan unjuran jualan daripada bahagian pengeluaran telefon pintar yang terus rugi kerana berhadapan saingan sengit daripada pemain utama termasuk Samsung dan Apple.

Apple Inc akan memperkenalkan model terbaharu iPhone 6 dan 6 Plus di Jepun Jumaat ini, sekali gus dijangka terus memberi tekanan ketara kepada jualan rangkaian telefon pintar, Sony Xperia.

Ketua Pegawai Eksekutif, Kazuo Hirai, berkata perniagaan telefon pintar berhadapan perubahan dramatik dalam penampilan produk dan juga ciri yang ditawarkan.

“Persekitaran pasaran berubah dan keadaan menjadi lebih parah,” katanya sambil menambah dengan mengambil kira keadaan semasa, syarikat akan fokus kepada pengeluaran telefon pintar mewah sahaja dan mengurangkan keluaran varian murah kerana saingan dari China.

Sony sebelum ini sudah mengumumkan penamatan khidmat 5,000 kakitangan dalam bahagian pengeluaran televisyen dan komputer.

Penarafan kredit firma itu sudah jatuh kepada tahap ‘sampah’ ketika ia melalui proses penyusunan semula korporat termasuk keluar daripada perniagaan komputer peribadi (PC) dan melupuskan aset termasuk ibu pejabatnya bernilai AS$ 1.0 bilion (RM3.2 bilion) di Manhattan, New York.

Sony juga menjual ibu pejabatnya di Tokyo, tempat ia beroperasi selama enam dekad. :-MYNEWSHUB.CC

Oleh: SYA

 

The post Sony Unjur Kerugian RM6.84 Bilion, Impak Persaing Apple & Samsung appeared first on MYNEWSHUB.

Tags: #Apple #Bilion #Impak #Kerugian #Persaing #RM6.84 #Samsung #Sony #Unjur