“Siapa yang mendesak Vasanthapiriya bunuh diri?”

888 views

“Siapa yang mendesak Vasanthapiriya bunuh diri?”|Selepas lebih seminggu tidak sedarkan diri, seorang remaja berusia 14 tahun yang sebelum ini menggantung dirinya dengan menggunakan kain sari disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya di sini awal pagi tadi.

M Vasanthapiriya, bertindak demikan selepas dia dikatakan tertekan apabila dituduh mencuri telefon bimbit milik cikgunya minggu lalu.

Ibu saudaranya, A Lalitha, 43 berkata, apa yang berlaku amat mengejutkan seluruh keluarganya dan dia tidak percaya Vasanthapiriya mencuri telefon bimbit cikgunya seperti didakwa sebelum ini.

Menurutnya, telefon bimbit yang kononnya dicuri remaja terbabit sebenarnya tercicir di sebuah kedai makan dan difahamkan ia telah dijumpai.

“Telefon bimbit sudah dijumpai tapi bagaimana dengan nyawa mangsa yang disia-siakan begitu sahaja disebabkan tuduhan yang tiada bukti.

“Kami mahu tuntut keadilan dan orang yang bertanggungjawab sehingga keadaan menjadi seperti ini perlu mendapat balasan yang setimpal,” katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Seberang Jaya.

Lalitha berkata, anak saudaranya itu seorang yang sensitif malah ketika dituduh mengambil telefon bimbit dia dimarahi di hadapan pelajar lain.

Sebelum ini media melaporkan, Vasanthapiriya pelajar sebuah sekolah menengah di Nibong Tebal dipanggil oleh empat guru sekolahnya Rabu minggu lalu sebelum dituduh mengambil iphone milik salah seorang daripada guru berkenaan.

Walaupun mangsa beberapa kali menafikan tuduhan itu namun dikatakan telah dipukul oleh salah seorang daripada gurunya.

Guru yang kehilangan telefon bimbit itu bersama suaminya yang juga seorang guru di sebuah sekolah rendah di Nibong Tebal mengugut membuat laporan polis ke atas mangsa.

Akibat tertekan dengan perkara itu dan tidak mahu keluarganya menanggung malu, remaja terbabit bertindak menggantungkan diri dan sempat meninggalkan sekeping nota.

Difahamkan, Vasanthapiriya menghembuskan nafas terakhirnya di sisi ibu bapanya kira-kira jam 3.30 pagi.

Sementara itu, Presiden Malaysia Tamilar Kural, P David Marshel menggesa pihak polis segera menjalankan siasatan dan memaklumkan perkembangan kes itu sama ada ia disiasat di bawah kategori pembunuhan atau sebaliknya.

“Saya menggesa polis lebih serius, sudah buka kertas siasatan tapi tidak tahu status kes ini (termasuk) guru terbabit masih belum ditahan untuk membantu siasatan.

“Kenapa masih belum ada perkembangan terkini sama ada ia kes percubaan membunuh diri atau kemungkinan didorong bunuh diri dan ada unsur jenayah, walaupun sudah lapan hari aduan polis dibuat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan keadilan terhadap mendiang akan terbela dan sanggup menanggung semua kos untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab dalam kes ini dihadapkan ke muka pengadilan.

Sementara itu, suasana di pekarangan bilik mayat diselubungi rasa sedih apabila ahli keluarga dan beberapa aktivis berkumpul bagi menantikan proses tuntutan mayat.

Mereka dilihat mengangkat pelbagai poster bantahan dengan tertulis #Justice4Vasanthapiriya “Saya tidak mengambil (telefon pintar) iPhone cikgu, saya bersumpah!, “Adakah harga iPhone lebih bernilai berbanding nyawa pelajar?”, “Siapa yang mendesak Vasanthapiriya bunuh diri?”.

Tags: #BUNUH DIRI #Vasanthapiriya