Saya minta peluang memakai baju, tetapi mereka terus mengambil gambar & video

Saya minta peluang memakai baju, tetapi mereka terus mengambil gambar & video|Sepasang suami isteri hari ini memfailkan saman terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan kerajaan Malaysia susulan penangkapan dan penahanan mereka dalam satu operasi khalwat bulan lepas, walaupun mereka telah berkahwin secara sah hampir tiga tahun lalu.

Mohd Ridhuan Giman, 34, dan isterinya Siti Sarah Maulad Abdullah, 26, serta ibu Ridhuan menamakan pegawai penguat kuasa Mohd Shiham Ramli, Mohamad Izehar Md Amin, ketua pegawai penguat kuasa agama JAWI, ketua pengarah JAWI, JAWI, Jabatan Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Saman sivil tersebut telah difailkan oleh tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tujuh pegawai penguat kuasa lelaki dan seorang penguat kuasa wanita menyerbu hotel tersebut pada jam 1:30 pagi pada 8 Januari lepas.

Dalam permohonan saman mereka, pasangan itu mendakwa penguat kuasa JAWI mengetuk pintu bilik hotel mereka dan apabila Ridhuan membuka pintu, pegawai JAWI menunjukkan kad kuasa mereka.

Tetapi sebelum Ridhuan dapat memastikan kad kuasa itu, mereka merempuh masuk. Mereka masuk sambil Ridhuan memaklumkan kepada mereka bahawa Siti Sarah tidak memakai pakaian sesuai yang menutup aurat.

Ridhuan memaparkan gambar sijil nikah mereka serta gambar perkahwinan yang berada di telefom bimbit beliau kepada pegawai-pegawai JAWI.

Tetapi pegawai lelaki JAWI didakwa menyerbu masuk walaupun Siti Sarah minta diberi peluang memakai pakaian, tetapi mereka terus mengambil gambar dan video.

Lanjutan daripada tindakan itu, berlaku pergelutan antara Ridhuan dan Shiham. Shiham didakwa mencekik Ridhuan sehingga menyebabkan kecederaan di leher.

Walaupun dipamerkan gambar sijil, Shiham dan pegawai lain didakwa enggan keluar dan seterusnya menahan pasangan tersebut.

Mereka mendakwa ketika Ridhuan dibawa ke lobi hotel, Siti Sarah masih berada dalam bilik bersama pegawai penguat kuasa lelaki JAWI. Siti Sarah meminta pegawai JAWI keluar dan ingin menutup pintu bilik hotel tersebut tetapi Shiham menolak pintu tersebut dan mengakibatkan tangan kiri wanita itu lebam.

Siti Sarah yang ketika itu bersinglet dan berseluar pendek didakwa diminta memakai baju dengan kehadiran pegawai lelaki tersebut. Mereka kemudian dibawa ke pejabat JAWI dan dikurung berasingan.

Ibu Ridhuan kemudian datang membawa sijil pernikahan asal pada malam yang sama untuk mendapatkan pelepasan mereka tetapi mereka didakwa enggan terima sijil bertarikh 17 Oktober 2014 itu.

Akibat daripada pihak JAWI enggan terima salinan asal sijil nikah itu, ibu Ridhuan terpaksa menandatangani bon persendirian untuk memastikan kehadiran suami isteri tersebut.

Ridhuan dan Siti Sarah menghantar surat notis tuntutan bertarikh Januari 11 dan 10 Januari, untuk mengarahkan Jawi memberhentikan siasatan ke atas mereka dan tidak mendakwa mereka di mahkamah atas kesalahan khalwat.
Bagaimanapun menurut peguam Yusfarizal Yusoff, bagi pasangan tersebut sampai ke hari ini notis surat itu tidak dibalas. Ini menyebabkan mereka memfailkan tindakan mahkamah ini.

Mereka mendakwa penahanan mereka tidak sah dan berlaku pelanggaran hak asasi mereka.

Ridhuan dan Siti Sarah menuntut ganti rugi am dan teladan serta kos bagi tindakan ini.
Bagaimanapun Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini mempertahankan diri berhubung dakwaan salah tangkap, kasar dan tidak beretika susulan saman terhadapnya hari ini.
“Sukacita dimaklumkan JAWI telah bertindak berdasarkan aduan yang diterima daripada orang ramai ramai dan melaksanakan pemeriksaan berdasarkan kuasa yang diperuntukkan bawah undang-undang berkuat kuasa dan prosedur operasi standard yang ditetapkan,” kata ketua pegawai penguat kuasa agamanya Wan Jaapar Wan Ahmad.

Menurutnya, pihak berkuasa agama itu juga sedia memberi kerjasama kepada mana-mana pihak berkenaan.malaysiakini

Tags: #jawi berdepan dengan saman #jawi kena saman #jawi tangkap pasangan suami isteri khalwat #Saya minta peluang memakai baju #suami isteri khalwat #suami isteri saman jawi #tetapi mereka terus mengambil gambar & video