Sangka maut kemalangan,rupanya kes bunuh

6073 views

Sangka maut kemalangan,rupanya kes bunuh|Polis menahan tiga lelaki, termasuk suami kepada seorang wanita yang ditemui mati di bawah kereta Perodua Myvi di kawasan tambak pasir Pantai Klebang, di Melaka, Isnin lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, susulan penahanan itu polis yakin kes terbabit dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, siasatan mendapati kes berkenaan mempunyai kaitan dengan kejadian bunuh, sekali gus menolak andaian ia adalah sebagai satu kemalangan.

“Polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sudah mendapat petunjuk dan yakin setiap suspek yang ditahan bagi membantu siasatan dapat membantu menyelesaikan kes ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Bukit Beruang, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mangsa wanita warga Indonesia, Yulianti, 40, ditemui dalam keadaan tersembam di bawah kereta terbabit oleh anggota kastam yang melakukan rondaan dan risikan di lokasi kejadian.

Katanya, mayat wanita warga asing itu ditemui di kawasan tambak pasir dan tersepit di bawah kereta, kira-kira jam 2 petang sebelum dimaklumkan kepada pihak polis.

“Hasil pemeriksaan tidak menemui sebarang pengenalan diri pada mangsa, namun hasil siasatan ke atas nombor pendaftaran kereta itu kita memanggil seorang lelaki berusia 47 tahun.

“Melalui soal siasat lelaki itu mengakui mangsa adalah isterinya dan kereta terbabit juga adalah miliknya, sebelum ditahan untuk diambil keterangan.

“Suami mangsa juga memberitahu kali terakhir dia bertemu isterinya pada jam 10 pagi hari kejadian,” katanya.

Afzanizar berkata, terdapat satu tikaman pada leher mangsa, namun bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas dipercayai akibat tersembam pada permukaan pasir.

“Kita percaya, mangsa ditikam di lokasi lain, sebelum dibawa ke kawasan terbabit dan ditinggalkan seolah-olah terbabit kemalangan.

“Susulan rakaman percakapan dengan suami mangsa, kita memanggil dan menahan suspek kedua berusia 48 tahun yang dipercayai menjadi suspek utama dalam kes ini,” katanya.

Menurutnya, suspek adalah pengusaha syarikat kereta sewa, dipercayai menjalin hubungan dengan si mati yang menguruskan pelbagai perniagaan.

“Tangkapan ketiga yang dibuat semalam pula membabitkan lelaki berusia 43 tahun yang juga pemandu teksi, dipercayai membantu suspek utama melakukan pembunuhan.

“Ketiga-tiga suspek kini direman bagi membantu siasaatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Tags: #Kemalangan #rupanya kes bunuh #Sangka maut