Rintihan terakhir undang gerimis

2815 views

Rintihan terakhir undang gerimis|JENAZAH Nur Afini Roslan, 14, yang maut akibat terkena bilah pisau mesin pemotong rumput di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Tampin, pagi tadi, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung FELDA Sungai Kelamah, Gemas, 10 malam tadi.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham dibawa dari Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban pada 5.45 petang selepas proses bedah siasat berakhir.

Jenazah kemudian dibawa pulang ke rumah keluarganya di kampung itu untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Majlis pengebumian Nur Afini yang dilakukan dalam keadaan hujan gerimisĀ  dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga, saudara-mara, guru dan rakan sekolahnya.

Suasana pilu menyelubungi perkarangan kawasan perkuburan itu apabila ramai ahli keluarga dilihat menangisi pemergian remaja berkenaan.

Dalam kejadian pada 10.30 pagi, Nur Afini meninggal dunia di tempat kejadian selepas kepalanya terpotong dipercayai selepas terkena bilah pisau mesin berkenaan ketika menjalani latihan perbarisan sempena hari sukan sekolah di padang sekolah itu.

Dua rakannya, Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, hanya cedera ringan dalam insiden itu.

Berikutan kejadian, hari sukan sekolah yang dijadualkan esok, dibatalkan.