Rakyat Bosnia Keluar Mengundi Hari Ini

535 views

SARAJEVO – Rakyat Bosnia hari ini keluar mengundi di tengah kemelut ekonomi dan sosial, bagi memilih presiden yang mewakili penduduk Croatia, Muslim dan Serb serta Parlimen baharu.

Pilihan raya umum itu diadakan ketika Bosnia menghadapi pelbagai masalah ketidakpuasan sosial berikutan kejadian rasuah berleluasa dan pertikaian etnik.

Bosnia adalah sebuah negara termiskin di Eropah dan berpecah berdasarkan kumpulan etnik berikutan peperangan di antara penduduk Croatia, Muslim dan Serb kira-kira 20 tahun lalu.

Konflik pada 1992-1995 itu, yang meragut nyawa kira-kira 100,000 orang, mengakibatkan bekas Republik Yugoslavia itu berpecah kepada dua entiti semi autonomi iaitu etnik Serb, Republika Srpska dan Persekutuan Muslim-Croatia – yang dihubungkan oleh institusi pusat yang lemah.

Kadar pengangguran di Bosnia adalah kira-kira 44 peratus. Kira-kira 18 peratus daripada penduduknya hidup di bawah garisan kemiskinan dengan purata gaji bulanan sebanyak 415 euro (RM1,600).

Negara berkenaan juga dilanda rasuah berleluasa, yang menyebabkan ribuan orang menunjuk perasaan di jalan raya bagi membantah gejala itu, agar kerajaan dapat memperkenalkan pembaharuan politik dan ekonomi yang diperlukan bagi membolehkannya menyertai EU.

Kira-kira 5,400 pusat mengundi dibuka pada jam 5 pagi GMT (1 petang Malaysia) dan akan ditutrup 12 jam kemudian. Keputusan awal dijangka pada jam 10 malam waktu Bosnia. – AFP

Tags: #Rakyat