Polis temui kubur misteri lagi

382 views

Polis temui kubur misteri lagi|Selepas penemuan tulang manusia dipercayai mangsa pembunuhan kejam kumpulan kongsi gelap di kawasan hutan Batu 8 Jalan Sungai Gadut, Senawang, kelmarin, polis menemui sebuah lagi ‘kubur’ milik mangsa lain, hari ini.

Kubur tidak bertanda itu ditemui di ladang sawit di Jalan Seremban-Mantin, Seremban berhampiran susur ke Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) selepas polis membawa beberapa suspek ke lokasi itu, pada 10 pagi tadi.

Difahamkan, suspek terbabit dibawa ke lokasi bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan membabitkan sekurang-kurangnya lima mangsa yang dilakukan kumpulan kongsi gelap sejak tiga tahun lalu.

Kubur berkenaan dipercayai digunakan untuk menanam salah seorang mangsa yang diculik dan dibunuh kumpulan suspek terbabit, sebelum mayatnya ditanam di kawasan terpencil bagi menghapuskan bukti.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, polis ke lokasi itu bagi mengumpul bukti berhubung kegiatan jenayah dilakukan ahli kumpulan kongsi gelap yang ditahan dalam operasi khas dilakukan mereka.

“Polis mencari lebih banyak bukti yang boleh dikaitkan dengan kes berkenaan. Siasatan kita belum lagi selesai, kita masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, polis giat mengesan beberapa lagi lokasi lain yang dipercayai menjadi tempat pembuangan mayat mangsa dan senjata yang digunakan suspek.

Kelmarin, polis menemui tulang manusia di dua kubur tidak bertanda di dalam hutan berhampiran sebuah kuil terbiar di Batu 8 Jalan Sungai Gadut sebelum membawa kepada penemuan kedua, hari ini.

Penemuan itu susulan kejayaan polis menahan sekumpulan lelaki dipercayai ahli kongsi gelap dalam operasi khas yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri Sembilan dan Bukit Aman, sejak dua minggu lalu.

Tags: #kubur #misteri lagi #Polis #Temui