Pesakit mental larikan ambulans dari hospital

353 views

Pesakit mental larikan ambulans dari hospital|KUCHING 20 Feb. – Seorang lelaki dipercayai mempunyai masalah mental berjaya ditahan polis selepas melarikan sebuah ambulans dari Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Abang Junaidi Abang Annuar berkata, suspek berusia 36 tahun dari Kampung Siol Kandis itu ditahan kira-kira pukul 1.50 petang.

Katanya, suspek sebelum itu dikatakan telah dimasukkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan di situ semalam.

“Bagaimanapun, suspek tiba-tiba melarikan sebuah ambulans milik pusat perubatan pakar swasta selepas petugas terbabit membawa pesakit masuk ke dalam HUS kira-kira pukul 12.50 tengah hari tadi.

“Kira-kira sejam kemudian, pasukan polis menemukan ambulans terbabit ditinggalkan di tepi Jalan Green berhampiran Wisma Saberkas di sini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, menyedari dirinya diburu polis, suspek bertindak keluar dari kenderaan itu dan melarikan diri ke pusat beli belah di Wisma Saberkas.

“Usaha suspek untuk meloloskan diri daripada polis gagal apabila dia ditahan di kawasan HUS.

“Kita syaki suspek berlari semula ke HUS dari pusat beli belah itu sebelum dia berjaya diberkas,” jelasnya

Tags: #Ambulans #Larikan #pesakit mental