Permintaan terakhir sebelum maut

2605 views

Permintaan terakhir sebelum maut|Alor Setar: “Saya sempat berbisik di telinganya, kalau Rusyaidi nak pi (pergi) ke syurga, ibu izinkan sebab dekat sana boleh main salji, malah apa saja yang kita hendak semua dapat.

“Waktu itu juga saya dapat rasa denyutan jantungnya sangat lemah dan tidak lama kemudian dia menghembuskan nafas terakhirnya,” kata Khairuni Nan, 32.

Khairuni dari Kampung Semeliang, Kuala Nerang, menceritakan detik terakhir anak tunggalnya, Muhammad Rusyaidi Mohamad Na’am, 5, dijemput Ilahi ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Wad Pediatrik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, semalam.

Mangsa yang juga anak saudara pelakon Hairie Othman itu menghembuskan nafas terakhir jam 9.24 pagi semalam selepas dua hari bertarung nyawa dan bergantung kepada mesin pernafasan selepas terjatuh ke dalam kolam tadahan air di Batu 19, Kampung Baru Padang Lalang di Kuala Nerang, Khamis lalu.

Menurutnya, dia reda dengan pemergian arwah walaupun semalam mereka bercadang untuk membuka mesin pernafasan selepas melihat keadaannya yang semakin lemah.

Katanya, sepanjang dirawat di hospital, Muhammad Rusyaidi tidak menunjukkan tanda positif atau pergerakan.

“Tadi (semalam), saya sempat berbisik di telinganya yang saya reda kalau dia hendak pergi ke syurga kerana rakannya, Damia (Nur Damia Nadhirah Shahrudin, 5, dah sampai ke sana.

“Sebelum kejadian, arwah ada minta saya tunaikan permintaannya untuk ke tempat salji, mainan yang mahal-mahal dan makanan yang sedap-sedap.

“Tak lama lepas tu, dia menghembuskan nafas terakhirnya mungkin dia nak saya ‘lepaskan’ dia kerana kami sangat rapat,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, di sini, semalam.

Khairuni yang bekerja sebagai pembantu kedai berkata, anaknya sebelum kejadian menunjukkan perubahan ketara termasuk suka menyanyi lagu ‘Balik Kampung’ sejak Ramadan lalu, namun dia tidak menyangka ia petanda kematiannya.

“Dia rapat dengan Nur Damia Nadhirah, malah kalau nak ke mana-mana dia akan minta izin daripada saya dulu.

“Tetapi, masa kejadian, saya tak tahu dia pergi ke situ (kolam) dan tak sangka perkara itu berlaku pada anak saya,” katanya.

Dalam kejadian Khamis lalu, dua kanak-kanak, Nur Damia Nadhirah Shahrudin, 5, ditemui terapung manakala Muhamad Rusyaidi Mohamad Na’am, 5, ditemui di dasar kolam terbiar di Kampung Baru Padang Lalang, dekat sini dipercayai tergelincir ke dalam kolam sedalam 2.5 meter itu.

Kedua-duanya ditemui penduduk kampung dan bapa mangsa yang menghantar mereka ke Hospital Kuala Nerang (HKN), namun Nur Damia Nadhirah disahkan meninggal dunia pada malam kejadian.

Muhammad Rusyaidi yang dirawat di HSB pula meninggal dunia semalam.

Tags: #Permintaan terakhir sebelum maut