PERJUANGAN SUAMI MISKIN YANG INGIN MEMBAWA ISTERINYA KE TURKI

833 views

 

YURLO

 PERJUANGAN SUAMI MISKIN YANG INGIN MEMBAWA ISTERINYA KE TURKI | Di suatu kampung, seorang gadis telah memilih seorang lelaki biasa  Dan juga miskin ,lelaki itu hanya kerja kampung yang kini sudah menjadi suaminya.

Suatu hari, mereka telah menonton tv. Ada rancangan travelog di Turki. Si isteri teruja dengan keindahan panorama di sana. Suaminya pun berkata,

“Abang nak bawa sayang jalan-jalan di Turki.”

Isterinya membulatkan mata, tersenyum gembira,

“Yeay!”

Hingga akhir tahun itu, suaminya tak bawa pun isterinya ke sana.
Di usia mereka 30-an, sekali lagi suaminya berkata kepada isterinya,
“Abang janji, tahun ni nak bawa sayang jalan-jalan di Turki.”

Isterinya senyum gembira dan menganggukkan kepalanya.

Namun, hingga awal umur mereka 40-an, suaminya tak tunaikan janjinya.

Di usia mereka meningkat 50, sekali lagi suaminya berkata kepada si isteri tersayang,

“Abang rasa, abang nak bawa sayang jalan-jalan di Turki hujung tahun ni.”

Isterinya senyum gembira dan mengangguk setuju.

Namun, hingga hingga lewat usia mereka 50-an, kata-kata suaminya itu hanya tinggal kata-kata.
Suatu hari, suaminya jatuh sakit. Sakitnya melarat hingga doktor mengesahkan hanya menunggu detik dan ketika saja.

Isterinya setia duduk di sebelah suaminya di hospital. Suaminya bersuara lemah,

“Abang minta maaf. Tak dapat bawa awak ke Turki. Tapi, kenapa selama ini dan sampai hari ini, awak tak pernah bangkit, ungkit atau marah tentang hal tu?”

Isterinya mencapai tangan suami tercinta.

“Abang, bila abang cakap nak bawa saya ke Turki, kata-kata abang tu dah pun bawa jiwa saya seolah-olah berada di sana dengan abang. Dah cukup sekadar membayangkan. Sudah cukup membahagiakan. Walaupun hanya angan-angan, tapi bagi saya cukuplah sekadar impian. Yang lebih penting, Allah dah bagi pada saya cukup bahagia.

Allah bagi suami yang membanting tulang empat kerat sehari-hari untuk menjaga saya dan anak-anak. Allah bagi suami untuk saya letakkan kepala di bahunya saat saya sedih, saat saya menangis. Adakah tidak cukup lagi semua ini?
Panorama dalam rumah kecil kita, lebih indah dan membahagiakan. Nak indah lagi, tunggu saja kita berjumpa kembali di Syurga sana. Lebih indah dari Turki. Perbelanjaan ke sana mesti mahal. Tapi, perbelanjaan ke Syurga lagi mahal. Jualkan dunia ini dengan isinya pun tak mampu untuk membeli tiket ke Syurga. Tiket itu ada pada reda abang pada isterinya ini.”
Suaminya menitiskan air mata mendengar kata-kata isteri. Tak lama kemudian, suaminya itu meninggal dunia. Setelah selesai dikebumi, isterinya mengemas barang-barang peninggalan suaminya.

Ketika mengemas, terjumpa sebuah buku tentang Turki. Di dalamnya ada sekeping tiket untuknya. Di sebelah tiket, ada nota kecil.

“Maafkan abang, duit abang hanya cukup untuk beli sekeping tiket ke turki.”

Isterinya menitiskan air mata. Apa guna ke sana lagi, andai hati ini telah dibawa pergi bersama arwah suami.

Penulis / Karya original : Muhammad Rusydi ( Rusydee Artz )

 

 

Tags: #Isteri #jalan jalan #JALAN JALAN KE TURKI #keturki #perjuangan #suami #Turki