Penuntut kolej mati kena bunuh

3776 views

Penuntut kolej mati kena bunuh|”Ketika itu, kami hanya melaungkan Allahuakbar dan menangis sekuat hati,” kata Ain Zulaika Zamuri, 19, selepas rakanya yang juga penuntut kolej ditemui mati dipercayai akibat dibunuh, di tepi jalan di Lorong 4, Taman PD Permata, di Port Dickson, semalam.

Pada kejadian jam 10.30 malam itu, mayat Nur Alya Damia Hairi, 19, yang juga penuntut Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) ditemui oleh orang awam yang kemudian memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Menurut Ain Zulaika Zamuri, 19 berkata, sebelum kejadian, Nur Alya Damia yang juga rakan sekelas dan sebiliknya itu keluar dari asrama kolej pada jam 9 malam dan memaklumkan mahu bertemu teman lelakinya di kawasan berhampiran.

Penuntut Diploma Rangkaian Komputer itu berkata, berikutan tidak sedap hati, dia menghubungi teman lelaki mangsa dan terkejut apabila dimaklumkan lelaki itu tidak bertemu Nur Alya Damia.

“Disebabkan itu, saya bersama dua rakan sebilik yang lain bertindak mencarinya dengan menunggang motosikal. Sebaik tiba di Taman PD Permata, kami ternampak anggota polis dan orang ramai berkumpul tepi jalan.

“Saya mendekati kawasan itu dan terkejut apabila mendapati mayatnya (Nur Alya Damia).

“Tidak disangka perkenalan kami begitu singkat kerana kami masih berada di semester pertama,” katanya.

Ain Zulaika berkata, mangsa adalah anak sulung daripada tiga beradik dan berasal dari Klang, Selangor.

Sementara itu, saksi kejadian Izwan Mustaffa, 30 berkata, dia menemui mayat mangsa ketika mahu membuang sampah di depan rumahnya.

Dia yang ketakutan kemudian memaklumkan jiran sebelum panggilan dibuat terhadap pihak polis.

Juruteknik kilang itu berkata, dia terkejut apabila pihak polis yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan remaja itu sudah meninggal dunia.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor berkata, sepasukan anggota forensik bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan orang awam.

Katanya, pemeriksaan menemui kesan jerut pada leher mangsa dan remaja itu dipercayai dibunuh.

“Buat masa ini, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.

Tags: #kena bunuh #Kolej #Mati #Penuntut