Penunjuk Perasaan Hong Kong Bangkit Kemarahan Peniaga

475 views

HONG KONG – Kumpulan penunjuk perasaan pro-demokrasi kini berdepan kemarahan penduduk selepas tindakan mereka menghalang lalu lintas telah menyebabkan kesesakan trafik yang teruk selain menjejaskan aktiviti perniagaan sehingga para peniaga mengalami kerugian.

Sehingga semalam, beratus-ratus penunjuk perasaan masih berkhemah di luar jalan utama menuju ke ibu pejabat kerajaan dan lokasi-lokasi perniagaan di pulau berkenaan.

Kumpulan penunjuk perasaan yang diketuai gerakan pelajar yang menutup jalan terbabit sejak beberapa minggu lalu mula membuka halangan di jalan tersebut kelmarin selepas kerajaan bersetuju berunding dengan mereka.

Setiausaha Rendah Perlembagaan dan Hal Ehwal Tanah Besar, Lau Kong-wah berkata, kedua-dua pihak sudah bersetuju dengan beberapa asas utama rundingan.

“Saya berpendapat pertemuan ini adalah berjaya dan ada kemajuan dicapai,” katanya.

Kesesakan jalan raya di Hong Kong masih teruk sehingga sejauh beberapa kilometer semalam selepas beberapa jalan masih ditutup oleh kumpulan penunjuk perasaan.

Orang ramai yang mahu ke tempat kerja juga terpaksa beratur panjang di stesen kereta api dan bersesak-sesak di dalam gerabak.

Persatuan Pengurusan Peruncitan Hong Kong dalam satu kenyataan kelmarin memberitahu bahawa jualan di beberapa buah kedai dan pasar raya di pulau itu terjejas sehingga 45 peratus.- Reuters

Tags: #Bangkit #Hong #Kemarahan #Kong #Peniaga #Penunjuk #Perasaan