Penumpang tak di undang di lebuh raya segamat

6287 views

Penumpang tak di undang di lebuh raya segamat|Aku pernah bekerja sebagai krew sebuah syarikat bas eksekutif yang tak perlulah kusebutkan namanya. Tugasku sebagai ‘pramugari bas’ tak adalah sesukar mana pun: sekadar memastikan keselesaan penumpang sepanjang perjalanan sehingga sampai ke destinasi dan mengedarkan makanan ringan dan minuman.

Gajinya boleh tahan untuk seorang gadis pemegang diploma dan yang paling penting, aku boleh berjalan-jalan melihat negara orang walaupun sekadar di seberang tambak Johor.

Bas-bas eksekutif syarikat ku adalah dari jenis double decker. Di tingkat atas ada 33 tempat duduk dan bahagian bawah pula merupakan lounge eksekutif. Bas eksekutif kami jarang kosong, tapi entah kenapa hari itu, cuma ada enam orang penumpang sahaja yang naik dari Singapura menuju ke KL. Lapan orang termasuk aku dan pemandu, yang ku namakan Encik Fattah.

Keenam-enam penumpang duduk di atas. Cuma tinggal aku dan Encik Fattah di tingkat bawah. Memandangkan lounge eksekutif tak berpenumpang, Encik Fattah memadamkan lampu agar lebih fokus memandu. Aku yang duduk di sebelahnya hanya tunduk bermain game di telefon.

Lembayung senja kemerahan menyelubungi langit ketika bas eksekutif kami dipacu laju di lebuhraya.

Sesiapa yang sering berulang-alik dari selatan ke KL, pasti ada 1001 kisah untuk dikongsi tentang Lebuhraya Segamat – Yong Peng.

Orang kata laluan di sini agak keras. Bekas kawasan perkuburan kata orang. Banyak juga cerita ‘penumpang tak dipelawa’ yang sering menjelma di tempat duduk belakang selepas matahari terbenam. Kata oranglah.

Aku tak ambil pusing. Sudah dua tahun aku bekerja sebagai pramugari bas, tak pernah pula aku nampak benda-benda pelik.

Tapi malam itu aku rasa lain macam. Bulu tengkuk aku meremang. Encik Fattah seperti biasa fokus memandu. Siaran radio Sinar FM yang dipasang perlahan menjadi white noise untuknya, menenggelamkan bunyi deraman enjin bas. Aku memandang keluar. Gelap gelita. Cuma sekali-sekala cahaya kenderaan yang memotong bas eksekutif kami menerangi selama beberapa saat lounge eksekutif kami.

Beberapa saat tu tak lama, tapi cukup untuk ku ternampak ‘sesuatu’ yang jaraknya cuma beberapa meter dari belakang kami. Elok terbaring beralaskan bantal. Aku menggigil. Mulutku terkumat-kamit membaca apa-apa juga ayat suci yang aku tahu.

“Encik Fattah!” kataku perlahan, tapi mataku masih memandang ke hadapan.
“Hah? Pehal?” dengusnya, sempat memandang ke arahku.

“Belakang encik tu…”
“Kenapa belakang aku?”
“Ada benda tengah baring…”
“Kau jangan macam-macam Ayu”
“Encik Fattah… cuba pandang belakang kejap”

Dia menoleh beberapa saat sebelum kembali memandang jalanraya di hadapannya.
“Kau ni mabuk ke apa? Gi duduk belakang sana!”
Gila apa dia suruh aku duduk belakang dengan benda tu.
“Encik Fattah, bukak CCTV kalau tak percaya cakap saya”

Aku tak pasti kenapa Encik Fattah membuka CCTV. Sama ada dia sendiri pun dah menggeletar ataupun dia ingin meyakinkanku bahawa tak ada apa-apa pun di belakang kami.

Apa yang dia nampak? Aku sertakan bersama foto CCTV yang sempat aku rakamkan. Kalian nilaikan sendiri kesahihan cerita ini. Foto ini menjadi viral di syarikat kami dan bas yang kami naiki itu digelar Bas Puaka. Tipulah kalau aku tak goyang. Selang beberapa bulan selepas peristiwa itu, aku terus berhenti kerja.

Oh, apa jadi dengan benda yang terbaring di belakang kami tu? Hilang sesampai sahaja kami di Seremban. -End Sengal Paranormal Team – SEPAT

Tags: #kejadian seram di lebuh raya segamat #kisah seram #kisah seram di lebuh raya segamat #lebuh raya segamat.kisah menyeramkan #penumpang tak di undang #Penumpang tak di undang di lebuh raya segamat