Pendidikan Internet Bentuk Masyarakat Berhemah

540 views


KUALA LUMPUR – Umumnya, masyarakat hari ini tidak dapat lari daripada arus kemajuan dunia teknologi maklumat malah agak janggal jika ada golongan yang tidak mengetahui akan kewujudan laman media sosial.

Laman media sosial seperti Friendster, MySpace, Facebook, Twitter, Flickr, Linkedln, Instagram, Pinterest dan Google Plus di Internet sudah menjadi suatu wadah dalam kalangan individu yang ingin mendapatkan maklumat perkembangan semasa.

Sungguhpun begitu, sejak kebelakangan ini laman media sosial sering menjadi sasaran individu tidak bertanggungjawab dengan menyebarkan fitnah serta memuat naik gambar yang menyalahi undang-undang negara.

Sebelum ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berulang kali mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak terlalu ghairah membuat sebarang komen di laman sosial.

Bahkan, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyatakan bahawa sudah tiba masanya kerajaan memberi pendidikan penggunaan Internet secara berhemah bermula di peringkat sekolah rendah untuk mengelakkan berlakunya penyalahgunaan Internet pada masa hadapan.

Ramai bersetuju dengan pandangan Ahmad Shabery bahawa pendidikan penggunaan Internet dapat membantu pengunaan Internet secara berhemah.

PENDEDAHAN DAN PENDIDIKAN

Membicarakan perkara itu, pensyarah Komunikasi Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Nurul Jamilah Ismail Rani berkata pendedahan mengenai penggunaan Internet perlu diberi penekanan kepada para pelajar supaya dapat melahirkan individu bersifat matang.

“Jika dilihat sekarang ini ramai antara masyarakat kita yang menulis komen-komen di laman media sosial dengan sesuka hati tanpa mengambil kira sensitiviti kaum dan agama.

“Contoh paling jelas seperti di Facebook. Ada antara mereka yang memberi komen-komen menggunakan bahasa kasar malah hal-hal peribadi dibincangkan di media sosial secara terbuka,” katanya, sambil menambah kata bahawa tahap penerimaan dan pemahaman setiap individu itu amat berbeza.

Mengulas lanjut, beliau berkata pendidikan awal di sekolah dan mengawal budaya tidak sihat semasa melayari Internet adalah pendekatan yang boleh membantu mengurangkan kegiatan penyalahgunaan Internet terutamanya di kalangan mereka yang aktif di laman sosial.

Nurul Jamilah berkata menerusi pendidikan awal di sekolah, para pelajar akan mendapat pendedahan mengenai penggunaan Internet secara berhemah dan menghindarkan mereka daripada melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Dalam pada itu, beliau berkata walaupun kerajaan telah menggubal Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, pihak berkuasa perlu memperincikan akta tersebut dengan menguatkuasakannya dengan tegas bagi membendung jenayah siber.

Seorang pensyarah Komunikasi dan Media Kolej Universiti Shahputra (SHAHPUTRA) Muhammad Fadhil Shukor berkata penggunaan Internet banyak membantu mempermudahkan sistem pembelajaran di sekolah, apatah lagi pengajian di peringkat tinggi di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Penggunaan Internet sangat membantu guru-guru mengajar di dalam kelas dan sesi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih seronok dengan pengunaan visual, grafik, bunyi yang sememangnya mudah untuk dicari di Internet,” katanya kepada Bernama.

Namun, katanya perlu ada kaedah memantau dan menegur dalam pengunaan Internet supaya ia tidak disalahgunakan.

KESEDARAN SIVIK

Turut berkongsi pandangan pensyarah Teknologi Maklumat SHAHPUTRA, Hasmalina Hassan berkata penyalahgunaan Internet bukan hanya dilakukan oleh orang awam sahaja malah oleh mereka yang berpengetahuan tinggi dan mempunyai pengaruh.

“Pada masa sekarang bukan soal pentingnya pendidikan berhemah semasa menggunakan Internet tetapi adalah budaya hidup masyarakat hari ini yang dilihat tidak mempunyai kesedaran sivik.

“Masyarakat juga perlu didedahkan dengan etika ketika menggunakan Internet supaya mereka tidak mengambil mudah dengan apa yang ditulis laman sosial tersebut,” katanya

Beliau turut menegaskan peranan ibu bapa amat penting dalam mengawal gerak laku anak-anak mereka ketika menggunakan Internet bagi mengelakkan anak-anak terjebak dengan budaya negatif.

“Jika kita ingin melahirkan sebuah generasi yang sihat segalanya perlu bermula di rumah… ini dapat membantu membina imej negara, yang akan dipandang tinggi oleh masyarakat luar,” katanya. – BERNAMA

Tags: #Bentuk #Berhemah #Internet #Masyarakat #Pendidikan