Pemilik motorsikal yang digunakan suspek buka mulut

1077 views

Pemilik motorsikal yang digunakan suspek buka mulut|Suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian pembunuhan pensyarah Palestin di Setapak, Sabtu lalu dipercayai menyewa motosikal berkuasa tinggi Kawasaki Versys terbabit sejak Februari lalu.

Berdasarkan perjanjian antara suspek dan pemilik motosikal itu, lelaki terbabit berjanji untuk menyewanya selama tiga bulan untuk urusan bertugas di negara ini.

Sumber berkata, suspek dipercayai mengenali pemilik itu melalui seorang rakyat tempatan yang menjadi orang tengah untuk proses sewa motosikal berkenaan.

“Hasil daripada rakaman percakapan ke atas pemilik motosikal itu membawa kepada pendedahan gambar sebenar suspek seperti yang didedahkan oleh pihak polis, hari ini.

“Dengan pelbagai petunjuk termasuk penemuan motosikal yang digunakan suspek semalam, ianya sedikit sebanyak dapat membantu pihak polis dalam mengesan suspek,” katanya.

Katanya, pada masa ini bantuan dan maklumat daripada orang ramai amat dialu-alukan dalam usaha mengesan suspek sekiranya dia masih berada dalam negara ini.

“Berkemungkinan, dalam tempoh sewa selama tiga bulan (antara Februari hingga April), suspek melakukan pemerhatian dan pemantauan sebelum melakukan ‘tugasan’ membunuh Dr Fadi M R Albatsh Fatma.

“Malah, dia juga merancang dengan rapi, lokasi motosikal akan diletakkan selepas melakukan pembunuhan ke atas mangsa sebelum menghilangkan diri,” katanya.

Tags: #buka mulut #motorsikal #pemilik #yang digunakan suspek