Pemandu Lori Kongsi Kejadian Seram Di LPT2

663 views

Pemandu Lori Kongsi Kejadian Seram Di LPT2|Seorang pemandu lori mendakwa mengelak kelibat ‘lembaga hitam’ yang melintas di depan kenderaan berkenaan menyebabkan treler berkenaan terbabas sebelum terbalik di Kilometer 342.7, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) selepas susur keluar Kuala Dungun, jam 3 pagi kelmarin.

Saiful Fakri M Saidi, 25, berkata, kejadian menyebabkan dia dan kelindan yang juga adiknya, Saiful Hairi, 18, cedera ringan.
Menurutnya, sebelum kejadian, dia dan dua lori lain yang sarat dengan muatan bijih besi berkonvoi dari Gua Musang, Kelantan untuk menghantar bahan mineral itu ke Kawasan Industri Gebeng, Kuantan, Pahang.

“Saya sedang bercakap menggunakan ‘walkie-talkie’ seorang lagi pemandu treler di belakang yang dikenali sebagai Awi berusia 35 tahun manakala adik melihat telefon bimbit.

“Tiba di lokasi, saya lihat lembaga itu melintas dari arah kanan lebuh raya dan saya sempat memaklumkannya kepada Awi sebelum lori terbabas ke kiri jalan,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Menurut Saiful Fakri, dia dan Saiful Hairi dibantu keluar daripada kabin lori oleh Awi.

“Ketika itu hujan, saya dan adik menumpang dalam treler Awi. Tiba-tiba saya ternampak kelibat wanita berdiri di tepi pokok bersebelahan lori saya yang tersadai.

“Kelibat wanita itu melambai-lambai dan saya beberapa kali meminta Awi mengundurkan lori kerana saya mahu merakam gambar itu, namun Awi enggan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan terbabit.

Tags: #di lpt2 #kejadian seram #kisah seram #pemandu lori