Pegawai Kanan Dan Kakitangan SPRM Ditangkap Khalwat

3146 views

Pegawai Kanan Dan Kakitangan SPRM Ditangkap Khalwat|Seorang pegawai kanan dan kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling bagi menghadapi tuduhan khalwat mereka berdua.

Bagaimana pun pertuduhan yang sepatutnya dibacakan terhadap mereka berdua ditangguhkan selepas Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Peguam Syarie, Fadhlina Sidek memfailkan afidavit tambahan bagi menyokong permohonannya agar prosiding dijalankan secara tertutup.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 3 Mei depan untuk keputusan permohonan itu.

Terdahulu, Fadhlina yang mewakili pasangan itu membuat permohonan tersebut atas alasan dokumen yang akan dikemukakan sulit dan berkaitan dengan isu keselamatan negara.

Bagaimana pun, pegawai pendakwa, Fairus Jaafar membantah permohonan itu.

“Pertuduhan yang akan dikemukakan hanyalah melibatkan tatatusila individu.

“Tiada pihak lain terlibat, justeru ia perlu dibuat secara terbuka,” katanya.

Jaminan terhadap pasangan itu masing-masing dibenarkan RM2,000 dengan seorang penjamin di kalangan penjawat awam.

Fairus ketika ditemui media mengesahkan pertuduhan akan dikemukakan mengikut Seksyen 29 (a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 iaitu berkhalwat.

Pada 16 Disember lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan membuat tangkapan ke atas mereka berdua dalam operasi serbuan jam 3 pagi di sebuah kondominium di Seri Kembangan.

Tags: #16 tahun dicekup khalwat #SPRM