Padah Pemandu Terkucil Di Manchester

429 views

Manchester – Seorang pemandu dalam kes langgar lari memberi alasan memandu melulu sehingga melanggar pejalan kaki menyebabkan mangsa koma kerana tidak tahan mahu membuang air besar.

Mahkamah diberitahu, Martyn Jones, 40, yang turut membawa anak lelakinya berusia empat tahun ketika kejadian dipenjara tiga tahun semalam selepas mengaku mengakibatkan kecederaan parah kepada pemandu teksi Tekie Yamani, 37, yang mengalami kerosakan otak, retak tulang rusuk dan hilang ingatan selepas kejadian berkenaan.

Mangsa juga koma tiga minggu akibat kejadian itu.

Saksi melihat mangsa tercampak ke udara sebelum jatuh 50 kaki dari tempat dia dilanggar.

Jones yang juga mempunyai 17 rekod kesalahan lampau turut terkincit ketika melarikan diri daripada dua anggota polis yang mengejarnya menggunakan van polis apabila melihatnya memandu melulu selepas keluar dari restoran McDonald’s berhampiran.

Jones memandu pada kelajuan 96 kilometer sejam dan dilihat memotong sebuah bas sebelum merempuh mangsa yang juga bapa tiga anak.

Dalam rayuan bagi meringankan hukumannya, peguam bela Katy Appleton berkata, Jones mengalami masalah membuang air besar malah terpaksa menggunakan beg kolostomi.

“Dia baru melawat anak perempuannya dan berada dalam keadaan emosi tidak stabil.

“Tambahan pula dia tidak mampu menahan daripada membuang air besar malah dia turut terkincit sejurus sebelum terlanggar mangsa,” katanya.

Ketika kejadian pada 18 Julai lalu, mangsa yang berasal dari Eritrea sedang berjalan ke kedai untuk membeli kad telefon.

Jones mendakwa dia tidak menyedari terlanggar mangsa sebaliknya menyangka ada orang memukul keretanya menggunakan batang besi.

Namun perbuatannya selepas itu menyangkal dakwaannya apabila membawa keretanya ke rumah seorang rakan yang diminta menyimpan kenderaan itu manakala cermin depan yang pecah turut ditutup.

Jones memandu dua kali ganda had kelajuan dibenarkan selain memandu secara melulu.

Saksi, pemandu bas John Hatton berkata dia tidak pernah melihat orang memandu seteruk Jones sepanjang hidupnya.

Rakaman CCTV turut menunjukkan detik Yamani dilanggar.

Dalam keputusannya Hakim Stuart Driver berkata kejadian itu berlaku kerana Jones sengaja memandu secara berbahaya dengan jarak yang agak jauh.

“Bukan saja pejalan kaki yang tidak berdosa menjadi mangsa, malah anak kamu yang masih kecil juga diletakkan dalam bahaya akibat perbuatan kamu,” kata Stuart. – Agensi

Tags: #Manchester #Padah #Pemandu #Terkucil