Nur Sumayyah akhirnya hembus nafas terakhir

5835 views

Nur Sumayyah akhirnya hembus nafas terakhir|Bayi perempuan yang terlibat kemalangan  di Kilometer 3 Jalan Bandar Seri Jempol-Serting Tengah, dekat Bandar Seri Jempol semalam disahkan telah meninggal dunia

Nur Sumayyah Firdaus, tujuh minggu, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jempol manakala Firdaus Jamaluddin, 29, dan Siti Anisah Muhd Hassan, 27, cedera serta masih menerima rawatan di hospital sama.

Perodua Myvi dinaiki tiga beranak terbabit bertembung dengan Proton Saga dinaiki dua beranak, pada kejadian 2.15 petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Jempol, Deputi Superintendan Azham Shah Azlan, berkata kemalangan apabila Proton Saga dari arah Batu Kikir ke Bandar Seri Jempol memotong kenderaan lain lalu bertembung dengan kereta mangsa yang datang dari arah bertentangan.

“Kemalangan itu menyebabkan tiga beranak terbabit cedera dan dikejarkan ke Hospital Jempol.

“Bagaimanapun, bayi perempuan mereka disahkan meninggal dunia pada 7.25 malam tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tags: #Nur Sumayyah akhirnya hembus nafas terakhir|