NAJIB JAWAB SOALAN DAN KRITIKAN GST TUN MAHATHIR

2556 views

njib

NAJIB JAWAB SOALAN DAN KRITIKAN GST TUN MAHATHIR |Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menjawab soalan Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga mengenai isu yang diutarakan oleh berbagai pihak termasuk mengenai isu GST.

Sambil menegaskan bahawa keutamaan beliau ialah kepada rakyat dan negara,
Najib menjawab segenap aspek persoalan dan kritikan terhadap pentadbiran beliau,
meliputi isu pengurusan 1MDB, pelaksanaan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan),
BRIM (Bantuan Rakyat 1Malaysia), kes pembunuhan Altantuya, Akta Hasutan, POTA
(Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan) dan prospek ekonomi negara.

Beliau mengupas segala isu itu ketika diwawancara Hamdan Ahmir dalam
program Soal Jawab TV3 Edisi Khas yang disiarkan malam ini.

Berikut adalah transkrip penuh wawancara itu:

MUKADIMAH HAMDAN: Sejak kebelakangan ini, ada beberapa pihak yang mengkritik
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri berkaitan beberapa isu pengurusan kewangan
dan pentadbiran. Malah ada pihak yang meminta supaya Perdana Menteri melepaskan
jawatan kerana mereka berpendapat UMNO dan Barisan Nasional akan tewas dalam
pilihan raya umum akan datang sekiranya Yang Amat Berhormat terus memimpin.
Untuk menjawab persoalan-persoalan ini, saya alu-alukan kedatangan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

SOALAN: Saya ingin mulakan sesi kita dengan menyampaikan rasa simpati kami
kepada Datuk Seri dan juga warga kerja Pejabat Perdana Menteri atas kehilangan
sahabat Datuk Seri yang cukup rapat, Tan Sri Jamaluddin Jarjis, dan juga
dua pegawai kanan yang paling rapat dengan Datuk Seri, Datuk Azlin Alias dan
Datuk Mohd Poad (Jelani). Bagaimana Datuk Seri menangani kesukaran dalam
saat-saat yang berdukacita ini?

NAJIB: Tentu sekali kehilangan mereka bertiga merupakan tragedi bagi
Pejabat Perdana Menteri, lebih-lebih lagi bagi diri saya sendiri, tentu sekali
bagi keluarga mereka, sahabat handai. Dalam konteks pentadbiran negara,
Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis telah memberi sumbangan yang besar dalam
pelbagai kapasiti di dalam dan luar negara.

Allahyarham Datuk Azlin dalam pentadbiran pejabat saya telah menjalankan
tugasnya dengan efisien, dengan amanah. Begitu juga dengan Datuk Poad sebagai
setiausaha sulit saya, telah jalankan tugasnya dengan baik.

Namun, walaupun saya tetap dalam kesedihan tetapi kehilangan mereka itu
menguatkan iltizam saya untuk menjalankan tugas-tugas saya memimpin negara
dengan sebaik mungkin untuk mencapai segala impian, segala cita-cita dan wawasan
negara.

SOALAN: Kita dapati Datuk Seri, kerajaan membuat penilaian semula dari segi
perkembangan ekonomi negara akibat tekanan-tekanan yang kita hadapi secara
global. Dari segi ekonomi, bagaimana Datuk Seri melihat usaha-usaha yang
dijalankan setakat ini dalam memantapkan ekonomi negara ke tahap yang lebih
tinggi?

NAJIB: Memang penilaian semula itu sangat kena pada masa berikutan kejatuhan
harga minyak yang agak begitu drastik, merudum jatuh hingga ke paras separuh
daripada masa-masa sebelum ini. Sudah tentu mana-mana negara pengeluar minyak
terpaksa membuat penyesuaian/adjustment kepada kedudukan fiskal negara, supaya
langkah-langkah yang lebih proaktif kita dapat menjamin bahawa fundamental
ekonomi negara kita masih kukuh.

Ini yang nak saya tekankan. Meskipun harga minyak jatuh tetapi fundamental
ekonomi negara kita tetap utuh dan kita masih boleh mencapai kadar pertumbuhan
yang sederhana tinggi.

Kita masih boleh menarik pelaburan, kita masih boleh melaksanakan
pembaharuan transformasi negara dan kita boleh terus memastikan rakyat Malaysia
terbela.

SOALAN: Kita dapati banyak pihak yang menyambut baik usaha-usaha yang dibuat
kerajaan dari segi memantapkan ekonomi negara. Dalam pada itu, Datuk Seri, ada
pihak-pihak tertentu yang nampaknya tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran
Datuk Seri sendiri sebagai Perdana Menteri.

Saya ingin khususkan kepada kritikan-kritikan yang dibuat sejak akhir-akhir
ini oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan
Datuk Seri sendiri. Bagaimana Datuk Seri melihat kritikan yang datang ini?

NAJIB: Saya tetap hormati Tun Dr Mahathir seperti mana saya hormati rakyat
Malaysia. Saya terbuka sekiranya mana-mana pihak yang mengkritik kepimpinan
saya, pentadbiran saya.

Saya harap kritikan itu dibuat dengan penuh berhemah dan cara
bertanggungjawab. Saya meneliti, saya menimbang kewajaran setiap kritikan itu.
Tetapi saya perlu tegaskan pada kesudahannya, saya perlu membuat keputusan
sebagai Perdana Menteri dan sebagai Presiden UMNO, dan saya bertanggungjawab
kepada rakyat Malaysia dan kepada parti. Itu saya nak tegaskan.

Apapun pendapat individu, pada kesudahannya, saya akan bertanggungjawab
kepada rakyat dan kepada parti.

SOALAN: Kita ambil contoh misal kata pengenalan GST pada 1 April. Ada pihak
yang beranggapan bahawa dari segi timing GST diperkenal itu kurang sesuai di
kala rakyat merasakan kesan ekonomi dunia yang memberi kesan kepada Malaysia itu
juga menghimpit mereka. Apa komen Datuk Seri?

NAJIB: Sebenarnya, tiada masa yang dikatakan sesuai untuk memperkenalkan
GST. Kalau kita lihat pada keseluruhannya, antara faktor yang boleh dikatakan
menyebelahi langkah kerajaan untuk memperkenalkan GST; harga minyak dah jatuh.

Bila harga minyak jatuh, maknanya harga petrol dan diesel lebih rendah dari
masa-masa sebelumnya. Itu satu…rakyat mendapat faedah daripada penurunan harga
minyak dunia. Yang kedua, kerajaan telah membuat persediaan yang begitu lama.

Soal GST ini sejak tahun 80-an lagi. Bukan perkara baharu. Jadi kita
laksanakan daripada makronya sesuai masanya sebab kerajaan perlu kepada punca
kewangan tambahan sebab hasil dividen daripada Petronas akan berkurangan kerana
harga minyak dah jatuh.

Jadi amat sesuai kita perkenal sekarang dan kita juga telah membuat satu
bentuk di mana banyak produk perkhidmatan keperluan rakyat yang di-zero rated
atau dikecualikan. Lebih daripada 4,000. Tak pernah mana-mana negara yang
membuat cara sedemikian dan ini bukan cukai tambahan.

Ini penggantian kepada cukai perkhidmatan dan jualan (SST) yang selain
daripada itu, kita tambah BR1M, Bantuan Rakyat 1Malaysia, kita bagi pengurangan
cukai peribadi antara satu hingga tiga per cent. Dan kita kurangkan juga cukai
korporat, juga satu per cent. Jadi pakej, jika kita lihat keseluruhannya, adalah
pakej yang tidak membebankan rakyat.

Kerana kita nak pastikan pelaksanaannya, ini pokok, pelaksanaannya dari
segi penguatkuasaan. Kalau ada pihak komplen, dia bukan pengenalan GST
sebenarnya, tetapi pihak peniaga yang mengambil kesempatan. Peniaga-peniaga yang
tidak bertanggungjawab, bukan semua.

Ada yang telah mengiklankan harga tak naik, ada yang kata harga akan
dikurangkan. Misalnya, harga kereta dikurangkan. Ada rangkaian supermarket
seperti Mydin yang kata kekalkan harga, ada yang kedai kain cakap mereka akan
absorb GST dan sebagainya.

Jadi (apa yang) kita nak pihak penguatkuasaan ambil tindakan ialah
peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab.

SOALAN: Kita faham bahawa barangan harian yang menjadi keutamaan rakyat
Malaysia dikecualikan GST. Tapi ada juga dalam kalangan rakyat yang
membangkitkan soal apabila mereka pergi kedai makan, makanan orang Malaysia
seperti nasi lemak atau roti canai dengan teh tarik juga dikenakan GST.

Kalau nak beli kicap tomato, sos Maggi misalnya pun dikenakan GST. Jadi
mereka bertanya bagaimana GST ini tidak membebankan mereka. Keluar hari-hari
makan di kedai kopi pun dikenakan GST.

NAJIB: Kalau pihak itu tidak sepatutnya kenakan GST, tolong lapor kepada
pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (Koperasi dan Kepenggunaan). Di sini
letaknya kuasa pengguna. Kita mesti tahu kita ada kuasa. Kuasa pertama kita
boleh pilih mana-mana kedai yang kita nak beli barangan ataupun kedai-kedai
makan, kita boleh pilih. Jadi kedai-kedai yang tak bertanggungjawab yang sengaja
menaikkan harga, lepas itu menyalahkan pihak kerajaan.

Kita janganlah pergi ke kedai itu. Banyak kedai lain. Kedai alternatif
lain. Yang kedua kita mesti lapor kepada kementerian dan pihak kastam. Jadi
gunakan kuasa sebagai pengguna. Lambat laun, mereka yang menggeksploitasikan
keadaan ini, mereka akan kehilangan pembeli.

SOALAN: Saya nak kaitkan kembali antara BR1M dan GST seperti yang disuarakan
Tun Mahathir juga bahawa masa yang tidak sesuai mengikut pandangan beliau, tidak
semestinya betul. Tidak sesuai untuk dilaksanakan GST dan handout BR1M bukan
langkah yang berkesan untuk diambil oleh kerajaan.

NAJIB: BR1M bukan handout. Sebenarkan BR1M merupakan social safety net yang
telah dicadangkan Jawatankuasa Fiskal, bukan saya sendiri. Jawatankuasa Fiskal
terdiri daripada jabatan-jabatan kerajaan termasuk Bank Negara, EPU, Kementerian
Kewangan dan sebagainya. Bila mereka bincang, pada mulanya kerana kita nak
kurangkan subsidi pukal.

Maknanya subsidi daripada minyak kita nak kurangkan kerana banyak ketirisan.
Banyak pembaziran. Banyak pihak yang tak layak dapat subsidi mendapat faedah
subsidi. Jadi kita kata, kita kurangkan. Tapi kita kena kurangkan
berperingkat-peringkat.

Kalau kita kurangkan, kita jimat perbelanjaan kerajaan. Bila jimat
perbelanjaan kerajaan, sebahagian daripada penjimatan itu kita salurkan balik
kepada rakyat. Jadi jika rakyat terpaksa membayar harga minyak lebih, mereka
adalah, orang kata timbal balas dalam BR1M bagi mereka yang berpendapatan
RM3,000 ke bawah. Sekarang kita tambah sikit kepada RM4,000, tapi RM3,000 ke
bawah ada timbal balas. Jadi itulah falsafahnya sebenarnya.

Soal social safety net yang bukan saja Malaysia, tapi banyak negara lain
mengamalkan sistem social safety net dalam pelbagai kaedah.

SOALAN: Berbalik kepada kritikan Tun Mahathir, beliau ada sebut kes
Altantuya Shaariibuu. Kita semua sedia akur bahawa mahkamah telah buat keputusan
kes ini…sudahpun berlalu. Tapi ada pula timbul kritikan daripada Tun Mahathir
yang kata siapa yang beri arahan kepada pegawai polis terbabit untuk membunuh
Altantuya. Terasa perkara ini pelik sebab kes itu sudah berlalu. Apakah Datuk
Seri ada terbabit dalam perkara ini?

NAJIB: Ini cerita 2008…dah lama dah. Sebenarnya saya dah lafazkan sumpah
Wallahi Wabillahi Watallahi, tiga kali termasuk di sebuah masjid di Permatang
Pauh pada 2008…bahawa saya tidak mengenali Altantuya dan saya tidak terlibat
sama sekali sama ada secara langsung atau tidak langsung. Dan pihak polis telah
jalankan siasatan. Dan pada masa itu Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sebagai
Perdana Menteri dah laporkan, dan Ketua Polis Negara dah buat kenyataan bahawa
saya tak terlibat.

Dan tak ada bukti sama sekali yang timbul bahawa saya kenal Altantuya. Tak
ada langsung…tak ada gambar, tak ada tulisan, tak ada saksi dan sebagainya.
Mahkamah telah tentukan prosesnya sampai ke Federal Court. Apakah kita nak
persoal integriti mahkamah kita yang kita pertahankan sebelum ini?

SOALAN: Difahamkan Datuk Seri sebenarnya sebelum ini pernah bertemu Tun
Mahathir sendiri mengenai beberapa isu. Adakah beliau bertanyakan Datuk Seri kes
Altantuya ini?

NAJIB: Tak secara langsung tapi kita pernah sekali berbincang. Dalam
perbincangan itu saya lihat beliau tak persoalkan penglibatan saya dalam (kes)
Altantuya. Dan saya anggap perkara ini tak berbangkit sama sekali. Bila saya
bincang dengan Tun Mahathir, saya tunjuk bahawa saya tetap hormat dia misalnya,
walaupun saya sebagai perdana menteri. Tapi saya pergi ke rumah dia, saya tak
benarkan dia datang rumah saya. Tapi macam mana pun bila kita bincang saya perlu
buat keputusan sebagai perdana menteri.

SOALAN: Dia (Tun Mahathir) faham bila (Datuk Seri) jumpa dan memberi
penerangan tetapi kenapa ditimbulkan lagi perkara ini?

NAJIB: Dia ada satu dua perkara dia nak saya buat. Tapi saya dah beri
pandangan atas perkara ini. Misalnya dia tak setuju BR1M, dia minta saya buat
jambatan bengkok ganti Tambak Johor. Saya dah bagi pandangan atas perkara ini.
Saya anggap ini sebagai perbincangan antara dua individu…agak sihat kalau ada
perbezaan pendapat tapi macam mana pun akhirnya saya kena bertanggungjawab
kepada rakyat dan parti. Dan kebanyakan perkara ini saya bawa dalam Kabinet dan
Kabinet akan putuskan perkara ini.

SOALAN: Datuk Seri, saya nak beralih kepada soal 1MDB. Ada pihak-pihak yang
mendakwa urus niaga 1MDB dengan didalangi beberapa personaliti tertentu amatlah
meragukan sekali. Apa komen Datuk Seri?

NAJIB: Saya nak jelaskan bahawa 1MDB merupakan sebuah badan yang kita
sifatkan sebuah investment company. Bermula dengan capital hanya RM1 juta saja
berbanding dengan PNB, Khazanah dan badan-badan lain kita beri macam-macam
suntikan modal. Tapi untuk 1MDB cuma RM1 juta saja.

Bila 1MDB nak kembangkan perniagaan, dia terpaksa meminjam tapi aset-aset
yang telah pun diperoleh oleh 1MDB melebihi liabiliti. Ini saya nak tekankan…
melebihi liabiliti. Kita perlu beri lebih masa kepada 1MDB untuk membangunkan
atau mencairkan aset-aset ini supaya dia dapat melunaskan hutang-hutangnya. Kita
boleh pertikai business model, saya sedia dengar pandangan-pandangan berbeza
tapi apa saya nak tegaskan di sini, saya tak condone, tak boleh terima kalau ada
apa-apa salah guna kuasa dalam 1MDB. Misalnya duit dilesapkan…dan sebagainya.

Sebab itu bila Lloyd sebagai auditor telah sahkan auditnya, saya masih
tak puas hati. Saya dah bawa cadangan dalam Kabinet supaya Ketua Audit Negara
menyemak balik secara terperinci. Dan setelah Ketua Audit Negara menyemak, saya
minta PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) teliti pula. Dalam PAC ada
pembangkang, mereka boleh bincang laporan audit.

Apa saya nak katakan, biarlah proses ini berjalan…bagi tempoh. Sebab kalau
kita dakwa, ada banyak beza kalau kata duit dilesap atau pinjam, rizab. Saya
juga minta Ketua Audit sahkan adakah tidak duit 1MDB diguna untuk buat filem
umpamanya. Saya nak tahu dan ini antara perkara-perkara yang mesti ditentukan
laporan ketua audit dan mesti disahkan atau sebaliknya oleh PAC.

SOALAN: Ada tempoh masa yang diberi?

NAJIB: Kita tak beri tempoh tapi mereka mesti buat seberapa segera yang
boleh. Siasatan yang rapi seberapa segera yang boleh sebab saya nak rakyat tahu
sebab saya telah beri jaminan bahawa dalam urusan 1MDB ini, kalau ada salah guna
kuasa, maka kita takkan pertahankan sesiapa.

SOALAN: Ada juga pihak yang bertanya wang yang dipindah dari Cayman Island
ke Singapura tapi tak dibawa balik ke Malaysia. Mengapa Datuk Seri?

NAJIB: Pertamanya duit itu tidak di Cayman Island. Cayman Island ini
merupakan pendaftaran saja…Banyak syarikat, ada 200 syarikat Malaysia ada
Cayman Island account. Tak ada salahnya ada Cayman Island account. Mereka simpan
duit ini di luar sebab mereka ada hutang luar. Daripada mereka bawa balik ke
Malaysia elok mereka simpan di luar sebab boleh dapat keuntungan daripada Forex
dan sebagainya. Masa akan menentukan tapi dalam masa tertentu duit itu akan
dibawa balik ke Malaysia.

SOALAN: Jadi tak ada kaitan dengan syarat-syarat Bank Negara untuk dibawa
balik wang itu ke Malaysia?

NAJIB: Sistem kita bebas. Apa-apa kita nak buat pun dia dengan pengesahan
daripada Bank Negara. Jadi Bank Negara tahu movement of fund dan sebagainya.

SOALAN: Adakah Datuk Seri pernah jelaskan perkara 1MDB kepada Tun Mahathir?

NAJIB: Saya secara langsung tidak (ada) sebab dia tak bangkit secara terus
dengan saya. Tapi saya tahu Lembaga Pengarah 1MDB dan ketua eksekutif 1MDB ada
jumpa dengan beliau terangkan keadaaan.

SOALAN: Adakah Datuk Seri pohon pengurusaan 1MDB agar lebih transparent
dalam urus niaga akan datang supaya rakyat dapat maklumat secukupnya?

NAJIB: Ya, begitulah dengan penyusunan semula pengurusan 1MDB saya harap
sedemikian. Begitu juga kita umumkan program rationalisation…kita sekarang
dalam langkah pelaksanaan rationalisation 1MDB. Kita perlu tempoh masa sikit
tetapi pelannya sudah disediakan dan kita dalam peringkat pelaksanaan.

SOALAN: Tadi Datuk Seri sebut pembikinan filem yang dituduh daripada 1MDB.
Kenapa Datuk Seri bangkitkan soal pembikinan itu. Apa implikasinya?

NAJIB: Sebab ada dakwaan-dakwaan sedemikian. Saya tidak mahu mempertahankan
apa-apa sebab ia melibatkan ahli keluarga tapi saya nak Ketua Audit mengesahkan
perkara ini.

SOALAN: Saya nak beralih kepada Akta Hasutan. Pada satu ketika dahulu Datuk
Seri sendiri menyatakan kemungkinan Akta Hasutan ini akan dikaji semula. Tapi
baru-baru ini keputusan telah dibuat bahawa Akta Hasutan akan kekal. Jadi banyak
pihak yang mengkritik Datuk Seri atas keputusan yang berubah-ubah ini. Apa
komen Datuk Seri?

NAJIB: Sebenarnya bila saya kata Akta Hasutan akan dikaji semula ia tidak
bererti bahawa peruntukan-peruntukan yang menjadikan sesuatu bentuk dakwaan
yang boleh disifatkan sebagai hasutan tidak kita masukkan dalam akta baharu.
Cuma nama Akta Hasutan, Sedition Act itu boleh dianggap sebagai controversial
sebab asal usul ‘sedition’ itu dikaitkan dengan peristiwa-peristiwa yang dahulu.
Jadi kita nak melihat dalam sudut lebih positif. Ia misalnya air dalam gelas.
Separuh kosong kah separuh penuh. Itu sahaja. Tapi saya sedar dalam negara kita
ini negara yang berbilang kaum dan berbilang agama kita mesti ada undang-undang
yang menyekat dan membanteras sesiapa yang boleh membuat dakwaan, kenyataan dan
apa-apa berita dalam majalah, tulisan dan sebagainya yang boleh menghasut
rakyat, membenci rakyat, sehinggakan timbul rusuhan. Perbalahan dan rusuhan.

Dan ini mempertahankan semua kaum, semua kepercayaan bukan sahaja orang
Islam, orang Melayu tetapi yang bukan Islam, yang bukan Melayu juga
dipertahankan. Supaya negara kita ini aman. Kalau kita tidak sentuh soal agama,
tidak menghina agama orang lain, tidak menidakkan soal kewarganegaraan orang
lain, tidak mengatakan orang itu pendatang dan sebagainya, amanlah negara kita.

Ini tidak bererti bahawa kita tidak boleh mengkritik kerajaan. Sebab dalam
pindaan akta ini kita kata peruntukan mengkritik kerajaan itu kita mansuhkan.
Kalau dulu misalnya kita boleh dakwa mana-mana pihak yang mengkritik kerajaan
sebab ada peruntukan dalam Sedition Act yang sedia ada. Kita dalam pindaan
Sedition Act kita mansuhkan. Mereka boleh kritik kerajaan. Tetapi kritik
kerajaan bukan bererti mereka boleh menghasut rakyat menjatuhkan kerajaan
melalui tunjuk perasaan umpamanya. Itu salah. Tapi kalau dia kata tukar kerajaan
waktu pilihan raya itu tidak salah.

Jadi inilah yang nak diamalkan dalam negara kita bahawa sistem demokrasi
yang sihat dan bertanggungjawab. Sebab saya sebagai perdana menteri,
tanggungjawab saya adalah menjaga keamaman dan keselamatan negara kita. Kalau
tiada keamanan, keselamatan negara, tiada apa guna bagi kita semua.

SOALAN: Ada juga kalangan parti pembangkang yang beranggapan bahawa Akta
Hasutan ini sebenarnya ialah untuk memerangkap mereka. Adakah ini benar?

NAJIB: Tidak benar. Mereka pembangkang mereka boleh kata, mereka boleh
kritik kerajaan, mereka boleh kata kerajaan tidak bagus, mahu tukar kerajaan
waktu pilihan raya, mereka boleh kata. Tentu sekali ini amalan demokorasi. Yang
kita tidak mahu kalau mereka mengeksploit soal-soal agama, soal-soal kaum yang
menghasut rakyat. Kalau mereka menghasut rakyat, rakyat marah, timbul
perbalahan, kesudahannya berlaku rusuhan kaum, antara agama dan sebagainya.
Siapa yang akan menderita? Rakyat yang akan menderita. Negara rosak. Jadi inilah
yang kita mahu elakkan.

SOALAN: Akta Hasutan mungkin terguna pakai untuk masalah yang wujud di dalam
negara. Tetapi sekarang ini muncul pula ancaman terbaharu kepada negara iaitu
ancaman pengikut-pengikut IS. Jadi bagaimanakah Datuk Seri melihat kerajaan akan
menangani perkara ini daripada berlarutan?

NAJIB: Itu sebab kita memperkenalkan akta baharu ini. Supaya kita boleh
bertindak dengan kekuasaan baharu. Tetapi ia dikhususkan kepada soal violence
extremism. Pengganas-pengganas menggunakan kekerasan, bakal menggunakan
kekerasan. Saya tahu yang dipertikaikan ia merupakan preventive detention, ada
element preventive detention. Tetapi ia tidak boleh disamakan dengan ISA sebab
kuasa menahan ini kuasa badan khas yang terdiri daripada mungkin hakim atau
bekas hakim, orang yang ada kredibiliti. Bukan kuasa yang diberikan kepada badan
eksekutif.

Jadi kalau kita nak tahan orang pun, kita mesti memberi bukti yang boleh
meyakinkan badan khas ini dan mereka boleh membuat keputusan. Kalau kita tunggu
sesuatu kejadian berlaku, katalah sebuah bom telah diletupkan, tentu kesan yang
cukup dahsyat, implikasinya cukup buruk. Jadi sebelum sesuatu itu berlaku, kita
ambil tindakan di bawah akta yang baharu ini tetapi kita mesti ada bukti yang
cukup. Misalnya kita sudah tahu dia sudah ada bom, nak buat bom, tunggu masa
sahaja nak bergerak, nak bertindak, masa itu kita boleh ambil tindakan di bawah
akta yang baharu.

SOALAN: Dalam Datuk Seri menangani isu-isu panas kebelakangan ini, banyak
yang menyentuh kerajaan, mengkritik kerajaan dan sebagainya. Bagaimanakah
sokongan daripada anggota Kabinet dan juga parti komponen Barisan Nasional dan
UMNO sendiri?

NAJIB: Alhamdulillah setakat ini sokongannya sangat baik. Banyak pihak
telah membuat kenyataan secara terbuka dari kalangan anggota Kabinet,
parti-parti komponen, ketua-ketua bahagian, ahli-ahli Yang Berhormat dan
sebagainya. Yang sebelum tadi, yang petang tadi Wanita UMNO buat kenyataan dan
sebagainya. Jadi saya melihat parti ada bersama-sama saya, di belakang saya
untuk terus memimpin parti dan negara. Tapi seperti mana yang saya kata, bahawa
saya boleh menerima kritikan. Tetapi kesudahannya saya bukan bertanggungjawab
kepada mana-mana individu, saya bertanggungjawab untuk rakyat Malaysia dan
parti.

SOALAN: Bagaimana pula dengan pandangan Tun Dr Mahathir yang mengatakan
bahawa sekiranya Datuk Seri terus memimpin negara, UMNO dan Barisan Nasional
akan tewas pada pilihan raya umum akan datang.

NAJIB: Itu pendapat peribadi Tun Dr Mahathir. Apa yang kita dalam parti
merasakan, bahawa soal kejayaan kepada UMNO dan BN bergantung kepada kekuatan
kita. Kekuatan kita hanya akan menjadi suatu kejayaan kalau kita padu dalam
parti. Kalau kita padu dan tidak bercanggah sesama kita, tiada unsur-unsur
sabotaj dan sebagainya, saya yakin kita boleh menang dalam PRU ke-14 yang akan
datang.

SOALAN: Tapi kritikan-kritikan ini nampaknya berterusan Datuk Seri.
Bagaimana Datuk Seri keep on moving forward dengan kritikan-kritikan yang tidak
pernah sunyi ini dan mungkin tidak akan berakhir?

NAJIB: Kritikan pada kali ini lebih daripada biasa. Lebih sengit daripada
biasa, tapi saya kena terimalah ini asam garam politk yang mana bukan semua
keadaan, wujud keadaan yang tenang dan selesa sepanjang masa. Sebaliknya
kritikan ini saya terima walaupun pedih. Tetapi pokok pangkalnya saya
bertanggungjawab kepada rakyat dan parti. Selagi rakyat dan parti memberi mandat
kepada saya, meletakkan amanah, saya tetap akan teruskan kepimpinan negara dan
parti.

SOALAN: Ada juga kalangan berpendapat perkara yang dibuat nampak jelas oleh
kerajaan ialah dari segi pemberian BRIM. Itu nampak ada kalangan yang
berpendapat sebenarnya tidak ada perkara projek-projek lain yang benar-benar
bagi manfaat kepada kepada rakyat. Adakah dakwaan ini benar?

NAJIB: Tidak. Kalau kita lihat pencapaian negara kita pertamanya kita
mulakan dengan data-data mikro misalnya kalau kita lihat kadar pertumbuhan tahun
sudah, kita capai kadar pertumbuhan enam peratus, antara yang tertinggi di Asia
Tenggara.

Kedua, kalau kita lihat dari segi pertambahan kekayaan GNI sejak 2009
sampai 2014 bertambah 47 peratus. Itu merupakan satu kadar peningkatan GNI yang
begitu tinggi. Kadar apa nama, kemiskinan misalnya, sekarang ini tahapnya satu
peratus sahaja.

Kita telah mewujudkan 1.5 juta pekerjaan misalnya dan kita telah beri
peluang untuk ramai pihak mencapai kelulusan dan dah menjadi middle class dan
sebagainya dan kalau kita lihat dari segi on the ground dan keadaan sebenarnya,
bekalan api, elektrik, jalan asas terutama sekali untuk Sabah dan Sarawak,banyak
yang telah kita tunaikan dan program-program yang kita jalankan misalnya di
bawah 1Azam, latihan-latihan keusahawanan, bantuan kepada SME (perusahaan kecil
dan sederhana) dan sebagainya untuk peniaga-peniaga dan sebagainya.

Banyak yang telah kita lakukan. Ini semua kita telah rakamkan dalam
buku-buku, yang telah kita maktubkan dalam risalah-risalah dan sebagainya, dalam
surat khabar. Jadi nak kata kita tak buat banyak itu, tidak benar.

Sebenarnya kita dah buat terlalu banyak termasuk projek seperti MRT dan
sebagainya. Yang terbaharu saya melancarkan Pan Borneo Highway yang
ditunggu-tunggu 50 tahun oleh rakyat Sarawak. Hari ini mula pelaksanaannya.

Jadi kalau kita lihat segala-galanya kita boleh tengok di Malaysia ini
memang banyak perubahan dilakukan.

SOALAN: Projek perumahan rakyat?

NAJIB: Banyak ya, termasuk projek perumahan rakyat. Semalam saya lancarkan
projek perumahan untuk penjawat-penjawat awam. 1,500 penjawat awam akan menerima
rumah mampu dimiliki oleh mereka.

Kita dah janji nak buat satu juta rumah mampu dimiliki dalam tempoh lima
tahun. Jadi ini semua komitmen kerajaan yang kita sedang laksanakan.

SOALAN: Adakah Datuk Seri berpuas hati dengan kerja-kerja untuk membangunkan
semula kediaman mangsa-mangsa banjir di Kelantan?

NAJIB: Setakat ini saya fikir banyak yang boleh kita lakukan lagi. Saya
tidak begitu puas hati sebenarnya. Saya ingat, saya rasa perlu lagi
ditingkatkan.

Saya harap kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri inilah dapat
diperkukuhkan lagi terutama sekali nak beri tanah. Sebab tanah di bawah kerajaan
negeri. Kalau kita ada tanah, peruntukan kewangan dah bersedia, dan kita boleh
serahkan untuk dibina rumah-rumah baharu.

SOALAN: Kita dapati tahun ini tahun ke-6 Datuk Seri sebagai PM, apakah
agaknya perancangan Datuk Seri seterusnya, the way forward for Malaysia?

NAJIB: Langkah ke hadapan, the way forward kita telah jelaskan dan paparkan
kepada rakyat. Sampai kepada tahun 2020 ini kita nak Malaysia menjelma sebagai
advanced economy, sebagai negara maju. Dalam pada itu, kita tahu bila kita
isytihar Malaysia sebagai negara maju, Insya-Allah, bukan semua rakyat akan
merasakan mereka sebahagian daripada ekonomi maju sebab kita gunakan penilaian
atau kriteria average income. Ada yang merasakan kedudukan mereka tidak begitu
besar perubahannya. Tambah-tambah lagi kalau harga komoditi getah masih pada
paras rendah, harga sawit dan sebagainya. Kelompok ini kita perlu lihat
bagaimana kita boleh beri tumpuan untuk meningkatkan pendapatan mereka. Saya
akan melihat pada Rancangan Malaysia ke-11, apa yang boleh kita masukkan sebagai
program-program tambahan, misalnya latihan kemahiran, latihan teknikal,
keusahawanan. Ini kita mesti beri tumpuan sebab boleh beri perubahan besar
kepada pendapatan rakyat. Selepas tahun 2020 kita akan lihat semula. Tapi our
immediate goal dalam masa terdekat ini, dalam masa lima tahun akan datang
semestinya untuk jayakan wawasan negara.

SOALAN: Apakah Datuk Seri berpuas hati dengan langkah yang kita ambil agar
idea Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh Tun Dr Mahathir itu terus kita capai?

NAJIB: Saya yakin kalau kadar pertumbuhan dapat kita pastikan dalam
lingkungan lima peratus setahun. Kalau kita lihat dari segi per kapita income,
Insya-Allah boleh kita dimartabatkan sebuah negara maju Insya-Allah menjelang
2020. Tetapi saya juga sedar bahawa ini average income. Kita mesti sedar ada
kelompok yang mana pendapatan bawah average yang merasakan mungkin kedudukan
mereka tidak sebahagian daripada negara maju. Inilah yang mesti kita beri
tumpuan, supaya pendapatan kelompok yang bawah 40 peratus average ini mesti kita
beri tumpuan yang lebih.

SOALAN: Ada juga pihak yang berpendapat kritikan-kritikan yang datang
daripada pihak, terutama sekali daripada Tun Dr Mahathir tidak akan berhenti.
Bagaimana Datuk Seri bercadang menangani perkara-perkara ini dalam perjalanan
kita menuju Wawasan 2020. Adakah ia memberi kesan kepada Datuk Seri sebagai
pemimpin negara?

NAJIB: Saya merasakan bahawa apa yang patut saya lakukan adalah teruskan
sikap saya. Maknanya saya terbuka. Setiap kritikan itu saya pertimbang dan saya
lihat kalau ada apa-apa kekurangan dalam pentadbiran saya. Saya tak pernah kata
bahawa saya tak buat kesilapan. Saya akui bahawa setiap manusia itu bukanlah
perfect. Tak ada manusia yang tak buat kesilapan. Jadi maknanya saya bersedia
dan serius lakukan penambahbaikan. Tetapi kalaulah saya merasakan bahawa apa
yang saya lakukan itu dapat sokongan parti dan rakyat maka saya akan teruskan
dasar-dasar saya dan keputusan saya. Sebab pada hakikatnya, penentuan hala tuju
negara ini bukanlah ditentukan oleh mana-mana individu, tapi ditentukan rakyat
dan parti.

SOALAN: Jadi, kedudukan Datuk Seri sebagai pemimpin parti, ditentukan oleh
ahli-ahli parti sendiri?

NAJIB: Ahli parti dan kesudahan pada rakyat. Dia ada dua proses. Maknanya
antara pilihan raya, parti akan tentukan. Tetapi waktu pilihan raya, rakyat akan
membuat kata putus.

SOALAN: Saya nak tanya Datuk Seri, bagaimana Datuk Seri membahagikan masa
dari segi weightage, wajaran antara hal-hal keluarga, dengan hal-hal negara.
Bagaimana Datuk Seri mengimbangi perkara ini?

NAJIB: Setiap individu ada caranya. Tetapi bila sudah jadi Perdana Menteri
ini, masa untuk keluarga dan masa untuk diri sendiri, orang kata private time
itu memang amat terbatas. Tetapi saya cubalah untuk mengimbangi antara
kerja-kerja untuk parti, untuk rakyat, untuk kerajaan. Di samping itu kalau ada
masa terluang, saya cuba bersama-sama dengan keluarga, dan juga membuat latihan
riadah umpamanya, exercise itu mustahak. Dan kewajipan kita kepada Allah kita
mesti tunaikan.

SOALAN: Pada pandangan Datuk Seri, apakah faktor-faktor yang menyumbang
kepada perpecahan dan kejatuhan sama ada dari segi parti atau sesuatu kerajaan?

NAJIB: Kalau berlaku sesuatu krisis dalaman parti, kalau ada parti itu
berpecah misalnya kepada dua tiga kumpulan dan kita hilang kepercayaan
sepenuhnya kepada kepimpinan negara dan parti, maka parti akan lemah. Bila parti
lemah dari dalam, parti boleh tewas. Saya selalu mengingatkan ahli-ahli parti
bahawa tak mungkin parti kalah kerana ancaman asakan dari luar tetapi parti
boleh kalah kerana perpecahan dari dalam.

SOALAN: Bagaimana pula peringkat negara, untuk keseluruhan rakyat Malaysia?

NAJIB: Saya kena hadapi. Zaman sekarang zaman persepsi sebenarnya, bukan
realiti. Dengan pengaruh sosial media yang begitu berleluasa hari ini. Zaman Tun
Mahathir tak ada sosial media. Zaman sekarang ini sosial media berperanan besar.
Jadi inilah satu yang terpaksa kita buat pengubahsuaian dari segi pendekatan
supaya menangani persepsi. Persepsi ini jika tidak ditangani boleh menjadi
realiti. Inilah mungkin cabaran paling besar bagi saya dan rakan-rakan saya
ialah untuk menangani persepsi.

SOALAN: Kita semua tahu bahawa keluarga Datuk Seri, daripada Allayarham Tun
Abdul Razak mempunyai perhubungan cukup erat dengan Tun Dr Mahathir. Ini
pertalian yang cukup lama. Walaupun dengan kritikan daripada Tun Dr Mahathir,
bagaimanakah Datuk Seri melihat Tun Dr Mahathir. Adakah pandangan Datuk Seri
sudah berubah? Kalau dulu Datuk Seri melihat beliau seperti seorang bapa, dan
Datuk Seri sendiri merupakan anak didik beliau. Adakah pandangan seumpama itu
sudah berubah kerana timbul kritikan terbaharu Dr Mahathir.

NAJIB: Saya akan tidak apa-apa dengan kritikan Tun Mahathir. Tetapi saya
ingin menyatakan bahawa, hakikatnya saya bertanggungjawab kepada rakyat dan
parti. Sama ada hubungan kita ini macam dulu atau tidak, masa akan tentukan.
Tapi bagi saya, saya beriltizam untuk menyerahkan kedudukan saya kepada rakyat
dan parti. Bukan bererti saya tak hormat mana-mana individu. Tapi itu soal
individu. Dari segi hakikatnya saya mesti serahkan kedudukan saya kepada rakyat
dan parti.

SOALAN: Apakah hasrat Datuk Seri kepada ahli-ahli parti dan rakyat
keseluruhan supaya kita dapat keluar daripada kemelut ini dan bawa ke tahap
lebih baik?

NAJIB: Pada saya kita mesti lihat yang pentingnya apa? Pada saya yang
pentingnya the big picture. Yang penting adalah soal masa depan kita, hala tuju
kita. Kita jangan benarkan sesuatu isu yang digembar-gemburkan seolah-olah
negara kita ini ekonominya sudah hancur, atau pun kita sudah bermasalah sampai
tidak boleh ditangani. Itu tidak benar sama sekali. Kita mesti yakin kita menuju
hala tuju yang benar dan positif. Dan dalam pada itu kalau ada kelemahan kita
perbaiki, kita perbetulkan. Mana-mana kerajaan di dunia pun tak ada yang
perfect, mesti ada kelemahan. Zaman Tun Dr Mahathir pun tak perfect juga, zaman
saya pun tak perfect. Tetapi kita mesti sedar bahawa kita ini mempunyai sikap
yang terbuka, kita betulkan keadaan, supaya hari esok lebih baik daripada hari
ini.

SOALAN: Apakah harapan Datuk Seri yang seterusnya, sebagai yang terakhir?

NAJIB: Harapan saya rakyat akan terus bersama-sama dengan kerajaan yang ada
sekarang ini. Mungkin tak semua, tapi biar sebahagian besar. Sebab kita mewarisi
sebuah negara yang mempunyai masa depan yang begitu cerah sekali. Mana-mana luar
negara yang saya pergi, mereka melihat Malaysia sebagai sebuah negara contoh,
model. Janganlah kita mempolitikkan keadaaan ini terlalu sangat sehinggakan
menghancurkan kepentingan negara. Politik tidak boleh mengatasi kepentingan
negara. Kalau semua rakyat sedar, Insya-Allah kita punyai masa depan yang begitu
baik sekali. Kita boleh berbeza pendapat, tak jadi masalah, asalkan kita gunakan
cara yang baik, cara berhemah, cara penuh bertanggungjawab. Masa depan Malaysia,
Insya-Allah tetap terjamin. mynewshub.cc

Tags: #JAWABAN JAWABAN NAJIB SOALAN TUN MAHATHIR #NAJIB JAWAB KRITIKAN GST TUN MAHATHIR #NAJIB JAWAB SOALAN DAN KRITIKAN GST TUN MAHATHIR #NAJIB JAWAB SOALAN TUN MAHATHIR