Mudahkah Mendidik Seorang Isteri?

808 views

Mudahkah Mendidik Seorang Isteri?

Situasi pertama :

” Ini Salmah, isteri saya..”Salmah tersenyum, sambil duduk bersimpuh di sisi suaminya. Kawan kepada suaminya mengangguk tanda hormat. Lalu mereka berdua terus berbual rancak, maklum saja lama tidak berjumpa. Isterinya setia mendengar, tanpa sebarang tingkahlaku yang boleh membantutkan perbualan suaminya.

Situasi kedua :

” Abang, duit RM50 tadi mana, kan saya dah bagi kat abang? “” Kejap lagi ye “ ( bagi isyarat mata )
” Abang, saya tanya ni, duit RM50 tadi mana? abang tu nanti terlupa lah tu letak kat mana. nanti hilang la apa la..”Isteri bertanya, sedang mereka berada bersama kawan suaminya. Menekan pula tu, seolah tidak faham apa-apa tentang keadaan. Duit RM50 yang isterinya minta itu sebenarnya hendak digunakan untuk keperluan lain. Ada silap faham sedikit antara mereka. Kawan suaminya pula pura-pura tidak mendengar, sedang suaminya pula berpura-pura senyum seolah tiada berlaku apa-apa. Tebal muka dengan sikap isteri sendiri.

Mudahkah Mendidik Seorang Isteri?


PENDIDIK

Kata orang, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Kalau sudah jadi buluh, manakan bisa dilentur lagi.
Berapa ramai lelaki yang bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik. Khususnya, pendidik kepada bakal isteri mereka nanti. Begitu jugalah, berapa ramai wanita yang bercita-cita untuk dididik, khususnya oleh bakal suami mereka nanti.
Cuma bagi lelaki, mudahkah soal mendidik itu?
Ramai orang yang belum melalui alam rumahtangga, beranggapan bahawa soal mendidik itu mudah. Mereka menyandarkan kepada tabiat sewaktu bercinta, atau keadaan si wanita yang mereka kenali ketika bercinta. Dengar cakap, mudah mengikut, tak pernah melawan dan sebagainya.
Lantas mereka merasakan ; mudahlah untuk mendidik dan membentuk wanita ini bila bergelar isteri kelak.
Kadang-kadang, dek kerana tidak sabar mahu mendidik, mereka terlupa pula soal asas kepada penyediaan jiwa seorang pendidik itu sendiri.
Mereka terlepas pandang soal membina diri untuk menjadi seorang pendidik.
Ya, pendidik bukan seorang pengajar. Besar bezanya seorang yang mengajar dengan seorang yang mendidik. Mendidik bukan soal menyampaikan sesuatu maklumat kepada otak si pendengar semata-mata, sebaliknya ia adalah soal menerapkan sesuatu kebaikan ke dalam jiwa orang yang dididik.

BUKAN BUDAK KECIL

Saya selalu sebutkan, wanita yang hendak dididik kelak, bukanlah seorang budak kecil.
Dia sudah besar, mungkin seusia dengan kita, bahkan mungkin juga lebih tua daripada kita.
Mungkin juga dia mempunyai kelulusan yang lebih tinggi atau pengalaman yang lebih banyak. Mungkin juga tahap IQ yang lebih hebat daripada kita.
Juga, mereka mempunyai latar belakang yang mungkin saja sudah sebati dengan hidup mereka. Cara berfikir, cara bertindak, cara berkomunikasi, cara bersosial dan sebagainya.
Dia sudah besar. Sudah dewasa, mungkin.
Dan kita pula seusai lafaz akad, menjadi pendidik rasmi kepada mereka. Jadi bagaimana?
Apakah kira-kira kita akan mengajarkan segala sesuatu dari asasnya kepada mereka, seperti mengajar alif ba ta kepada budak kecil, atas nama mendidik?
Atau kita akan memeriksa satu persatu sikap dan tabiat mereka, menyenaraikan di atas kertas, kemudian mengadakan satu ‘kuliah khas’ untuk menegur dan memperbaiki segala sikap dan tabiat yang tidak betul pada mereka?
Atau bagaimana?
Saya pasti, ia bukanlah suatu yang difikirkan oleh ramai bakal suami hari ini. Bahkan mungkin juga oleh yang telah bergelar suami.
Masih ramai yang terikat dengan retorik novel dan filem, yang menggambarkan betapa mudahnya proses ‘mendidik’ isteri itu berlaku. Sedangkan hakikatnya tidak begitu.

TITIK KESEIMBANGAN

Kalau kita letakkan ibarat anak murid dan cikgu, sudah tentu anak murid tidak akan melawan cikgu. Kerana cikgu itulah yang mengajar dan mendidiknya. Mana mungkin dia akan bergaduh dengan cikgu.
Tetapi suami isteri, ibaratnya bukan begitu. Mereka akan menempuh masa-masa bergaduh, berselisih faham, bermasam muka dan sebagainya. Tidak akan mungkin untuk seorang suami itu beranggapan dia sentiasa betul – kerana dia adalah ‘cikgu’ – manakala isteri pula sentiasa salah – kerana isteri adalah ‘murid’.
Jika keadaan itu berlaku, rumahtangga akan hilang keseimbangan.
Jadi bagaimana?
Jawabnya, titik keseimbangan harus sentiasa diberi perhatian.
Pesan Habib Ali Al Jufri : Lelaki yang sentiasa bertolak ansur dalam hal-hal keduniaan dengan isterinya, tetapi sangat bertegas dalam hal-hal akhirat, Allah akan campakkan dalam hati si isteri rasa hormat yang tinggi kepada suaminya.
Itulah titik keseimbangan.
Didikan yang perlu diberikan adalah didikan mengenal agama. Selain ilmu fardhu ain yang perlu dititikberatkan ( kalau suami tak mampu ajar, wajib benarkan isteri belajar di tempat lain ), soal sikap dan akhlak si isteri juga perlu diberi fokus penting untuk dididik. Seperti saya sebutkan di atas, sikap, tabiat, akhlak dan sebagainya yang ada pada isteri, dibentuk sekian lama oleh cara hidupnya sebelum bernikah.
Justeru, jika wujud kelemahan atau kesilapan, ia perlu diperbetulkan oleh suami. Situasi kedua dalam contoh yang saya bawakan di awal artikel adalah salah satu contoh kelemahan akhlak dan adab yang wujud pada isteri.
Bertegas sehabisnya dalam hal agama, dalam hal akhirat.
Tapi dalam hal keduniaan, tidak perlulah sampai merasakan kita sentiasa betul. Soal menguruskan ekonomi keluarga perlu melalui perbincangan bersama. Soal pendidikan anak-anak. Soal pemilihan warna untuk cat rumah atau hiasan dalam rumah, tak perlulah suami bertegas seperti ada dosa pahala pula. Isteri akan rasa sayang kepada suami jika kehendaknya dalam hal-hal sebegitu diraikan oleh suami.

MUDAHKAH?

Berbalik pada persoalan utama, mudahkah mendidik seorang isteri?
Jawabnya tidak mudah.
Sebagaimana seorang isteri perlu bermujahadah untuk taat kepada suami, begitulah suami perlu bermujahadah untuk membentuk isteri.
Wanita, bila kena cara didiknya, akan menjadi sebaik-baik wanita, dan digelar oleh Nabi sallallahu alaihi wasallam sebagai Wanita Solehah. Mereka penyeri dunia, mereka hiasan dunia yang paling indah.
Tetapi untuk dapat hasil sebegitu baik, maharnya adalah susah dan payah. Sabar dan istiqamah.
Seorang anak gadis yang dibentuk serta dididik bertahun-tahun oleh bapanya, pun boleh berubah sekelip mata bila berkenalan dengan lelaki yang menawarkan cinta kepadanya, apatah lagi suami, yang mungkin baru beberapa bulan atau beberapa tahun mengenalinya.
Proses membentuk perlu dibuat secara sedikit demi sedikit, sambil meraikan orang yang dididik sebagai isteri.
Proses mendidik juga tak akan sempurna, jika peribadi dan karakter yang mendidik tidak mencerminkan seorang pendidik yang baik. Seumpama mendidik isteri agar solat di awal waktu, sedang si suami suka solat di akhir waktu. Segalanya sangat berkait rapat.
Bahkan, kadang-kadang sikap buruk yang terzahir pada isteri adalah cerminan dari keburukan sikap sang suami.
Percayalah bahawa ianya tidak mudah.
Isteri tok imam pun, kadang-kadang adalah raja mengumpat dalam kampung.
Isteri ustaz-ustaz pun, kadang-kadang mata duitan dan gila dengan barang kemas.
Kalau kita tengok, zaman datuk nenek kita dulu, mereka ada ‘seni’ tersendiri dalam mendidik isteri.
Situasi pertama yang saya tulis di awal artikel banyak berlaku di zaman itu. Kadang-kadang ilmu agama mereka tidaklah tinggi, tetapi cara didikan seorang suami benar-benar menjadikan isteri wanita yang baik dan solehah. Tegar menjadi maruah dan kehormatan suami. Tahu bila hendak berbicara, bila hendak diam, bila hendak raikan kawan-kawan suami dan sebagainya.

ISTERI CERDIK DAN SOLEHAH

Tanyalah mana-mana lelaki, siapa yang tidak mahu isteri cerdik lagi solehah.
Lalu akan terbayanglah seorang wanita yang penuh sopan santun, pandai membawa diri, nampak cerdik bila bercakap atau bersosial, setia menjaga keizzahan suami dan sebagainya.
Tapi kena ingat juga.
Kadang-kadang Allah tidak datangkan jodoh kepada kita dengan ‘full set’. Semuanya baik, semuanya cantik, semuanya cerdik lagi terjaga.
Adakalanya, jodoh kita itu didatangkan dengan banyak kelemahan serta kekurangan yang tersingkap selepas dikenali atau selepas berumahtangga.
Jadi tugas kitalah untuk mendidik mereka. Mendidik, bukan mengajar. Ia mesti lahir dari hati, masuk ke dalam hati. Didikan itu pula perlulah disulami dengan cinta dan kasih sayang. Barulah melahirkan sabar dan istiqamah.
Juga, mendidik itu bukan hanya ketika mula-mula berkahwin, bahkan berterusan sehinggalah ajal menjemput salah seorang daripada mereka.
Maka bagi lelaki, ingatlah bahawa alam rumahtangga bukan hanya tempat bermain cinta semata-mata. Bahkan ia adalah sebuah madrasah untuk membentuk jiwa, bagi melahirkan zuriat-zuriat yang baik hasil didikan ibu dan ayahnya.
Memang mendidik isteri tidak mudah, maka jangan sesekali tinggalkan doa kepada Allah.
Agar diberi kekuatan, kesabaran, ketelusan dan kejujuran.
Banyakkan berselawat, baca doa dan kucup ubun-ubunnya. Doa seikhlas hati agar Allah lembutkan hati dia untuk menerima setiap didikan yang kita sampaikan kepadanya.
Buat yang belum berkahwin, bersiap sedialah untuk menjadi pendidik.
Bukan hanya menjadi pencinta wanita!

Tags: #Isteri #Mendidik #Mudahkah #Seorang