Misteri Kehilangan Intan Nursyahira

2301 views

Misteri Kehilangan Intan Nursyahira|Remaja perempuan berusia 13 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Taman Rambai, Parit Buaya, Muar, Johor, untuk ke rumah rakannya, kira-kira 5 petang, Jumaat lalu.

Intan Nursyafinaz Roslan, 18, berkata adik bongsunya itu, Intan Nursyahira, 13, keluar untuk ke rumah rakan sekolahnya di Kampung Parit Buaya, yang tidak jauh dari rumah mereka bagi melakukan kerja sekolah.

Bagaimanapun, menurutnya, ibu mereka, Noraini Abd Rahman, 44, tiba-tiba menerima panggilan daripada rakan sekelas anaknya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Abong dikenali sebagai Iffah, bertanyakan kenapa Intan Nursyahira tidak datang ke rumahnya seperti dijanjikan.

“Ibu menjadi panik lalu menghubungi kami semua.

“Adik keluar dari rumah ketika ibu berada dalam bilik air, kakak pula berada dalam biliknya dan saya serta ayah, Roslan Atan, 52, berada di tempat kerja.

“Kami tidak tahu pakaian terakhirnya namun dia membawa beg sandang, buku sekolah dan wang kira-kira RM8, menunggang motosikal SYM berwarna hitam,” katanya yang dihubungi semalam.

Menurut Intan Nursyafinaz, adiknya tidak berkelakuan aneh malah berbual seperti biasa dengan ibu termasuk memberitahu mahu melakukan kerja sekolah itu beberapa jam sebelum dia keluar rumah.

“Kami sudah melakukan pelbagai usaha termasuk meronda sekitar taman dan kampung berhampiran bagi mencarinya,” katanya.

Intan Nursyahira berkulit cerah, setinggi kira-kira 150 sentimeter dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Intan Nursyafinaz sekeluarga di di talian 016-9088593 atau 018-2134649.

Kehilangan remaja itu juga disiarkan di Facebook selepas ahli keluarganya memohon pertolongan orang ramai bagi membantu menjejaki pelajar berkenaan.

Difahamkan, selepas semua usaha gagal, keluarga itu membuat laporan kehilangan Intan Nursyahira malam tadi.

 

Tags: #Intan Nursyahira #Kehilangan #Misteri