Militan IS Semakin Hampiri Kota Baghdad

500 views

BAGHDAD – Kumpulan militan Negara Islam (IS) kini semakin mara ke bandar ini apabila kumpulan itu dilaporkan berada kira-kira dua kilometer dari barat ibu kota Iraq tersebut, lapor akhbar The Guardian semalam.

Pertempuran sengit tercetus kelmarin ketika tentera Iraq yang dibantu pejuang Kurdis cuba mengekang kemaraan militan IS ke bandar itu.

Satu sumber berkata, seramai 1,000 askar Iraq dan pejuang Kurdis terkorban dalam pertempuran tersebut.

Kekuatan IS dilihat tidak tergugat walaupun tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat (AS) melancarkan kempen serangan udara terhadap kedudukan kumpulan berkenaan di Iraq dan Syria sejak beberapa hari lalu.

Seorang jurucakap Yayasan Bantuan dan Perdamaian di Timur Tengah berkata, pada pagi semalam militan IS semakin menghampiri Baghdad dan tidak mustahil bandar itu jatuh ke tangan kumpulan berkenaan.

“Anggota militan IS kini berada tidak sampai dua kilometer untuk memasuki kota Baghdad,” kata jurucakap berkenaan.

“Ramai pihak sebelum ini menganggap IS tidak mempunyai kemampuan dan kekuatan untuk menawan kota berkenaan tetapi kini mereka (IS) semakin hampir menawan Baghdad,” katanya.

Menurutnya, Presiden AS, Barack Obama sebelum ini memberitahu bahawa beliau percaya tentera Iraq mampu untuk menangani ancaman daripada kumpulan militan berkenaan tetapi ternyata beliau tersilap.

“Kita tidak perlu masa yang terlalu lama untuk menilai mereka (tentera Iraq) dan kini kita tahu tidak banyak yang mereka boleh lakukan ketika ini,” katanya.

Sementara itu, kumpulan militan IS di Syria dilaporkan bersetuju untuk bekerjasama dengan sebuah lagi kumpulan penentang di negara itu yang dikenali sebagai Jabhat al-Nusra.

Kumpulan Jabhat al-Nusra merupakan serpihan daripada rangkaian pengganas al-Qaeda dan mereka menentang pemerintahan Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Kedua-dua kumpulan berkenaan sebelum ini sering berperang sesama sendiri tetapi mengambil keputusan untuk menjalinkan kerjasama selepas tentera bersekutu yang diketuai AS melancarkan serangan udara terhadap kedudukan kumpulan-kumpulan militan di Iraq dan Syria.

Seorang jurucakap Jabhat al-Nusra, Abu Firas al-Suri pada Sabtu lalu mengecam serangan tentera bersekutu tersebut dan berikrar untuk bertindak balas.

“Negara-negara ini (negara bersekutu) telah membuat satu kesilapan besar yang menyebabkan mereka akan menjadi sasaran pejuang di seluruh dunia.

“Ini bukanlah peperangan menentang Jabhat al-Nusra tetapi peperangan menentang Islam,” katanya.

Satu sumber memberitahu The Guardian bahawa para pemimpin Jabhat al-Nusra dan IS telah mengadakan beberapa pertemuan bagi merancang taktik perang di Syria.

Sebelum ini terdapat laporan bahawa sejumlah anggota militan daripada beberapa kumpulan kini berpaling tadah dan menyertai IS yang dilihat lebih tersusun dan mempunyai kelengkapan untuk menubuhkan negara Islam di Iraq dan Syria. – Agensi

Tags: #Baghdad #Hampiri #Kota #Militan #Semakin