Meraung lihat ayah kena gilis lori

3220 views

Meraung lihat ayah kena gilis lori|Remaja lelaki hanya mampu meraung dan menangis sebaik melihat tubuh kaku bapanya yang maut dalam kemalangan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, semalam.

Difahamkan, remaja itu datang ke lokasi kejadian berhampiran Pasar Borong Selayang bersama rakannya sebelum terpaksa ditenangkan pihak berkuasa.

Dalam kejadian pada 3 petang itu, mangsa Hisham Mohd Yusof, 47, disahkan maut di lokasi kejadian apabila digilis lori selepas motosikal ditunggangnya melanggar pembahagi jalan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa dari arah Jalan Kuching menghala ke Rawang cuba memotong lori terbabit yang berada di lorong kanan.

“Tindakan mangsa menyebabkan motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan.

“Pemandu lori berusia 48 tahun gagal mengelak lelaki itu yang terjatuh menyebabkan mangsa masuk ke bawah lori terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

“Pemandu lori terbabit membuat laporan kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak sebelum kes dirujuk ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tags: #Ayah #kena gilis lori #Lihat #Meraung