Mengenal Bahaya Dadah “Methamphetamine” Yang Digunakan Cindy Ng

509 views

Mengenal Bahaya Dadah “Methamphetamine” Yang Digunakan Cindy Ng |Berikutan peristiwa kemalangan yang disebabkan pemanduan berbahaya seorang wanita yang dikatakan berada dibawah pengaruh dadah methamphetamine, mari kita sama-sama melihat kembali mengapa dadah jenis ini mampu menjadikan pertimbangan seseorang itu terjejas dan tidak mampu berfikir dengan rasional.
Methamphetamine adalah dadah sintetik jenis perangsang. Dadah ini selalu dipanggil kimia (kerana ia sintetik dan tidak terdapat secara natural dari tumbuhan atau haiwan), ice / batu (kerana bentuknya seperti batuan kristal mungkin) atau speed.

Amphetamine (sejenis dadah dalam kelas yang sama) telah disintesis oleh seorang saintis Romania di German pada tahun 1887. Sintesis methamphetamine telah dilakukan oleh Nagai Nagayoshi di Jepun dari kompaun ephedrine yang diperolehi dari tumbuhan Ma Huang kemudiannya pada 1893. Beberapa dekad kemudian, seorang lagi saintis Jepun Akira Ogata menemukan cara untuk menghasilkan crystal meth dari ephedrine dengan menggunakan red phosphorus dan iodine.

Dahulu, methamphetamine dihasilkan untuk diberikan pada askar di medan peperangan untuk meningkatkan kepekaan dan daya juang mereka. Dalam Perang Dunia ke II contohnya, pil Pervitin digunakan oleh pasukan dari Third Reich. Namun, ianya dihentikan apabila pengambilan pil tersebut menyebabkan sesetengah askar bertindak secara ganas dan luar kawalan terhadap orang awam dan rakan sepasukan mereka.
Penggunaan methamphetamine juga menyebabkan penggunanya cenderung mengalami ketagihan dan menggalakkan penggunaan dadah ini secara compulsive. Ia juga mengakibatkan kebergantungan seseorang terhadap dadah ini dengan cepat.


Methamphetamine mampu menambat pada reseptor ‘trace-amine associated’ (TAAR1) yang berfungsi dalam regulasi adrenaline dan noradrenaline di otak. Kehadiran meth pada reseptor ini akan menyebabkan pengambilan semula neuropemancar adrenaline dan noradrenaline tidak berlaku. Malah tindak balas ini juga menjejaskan juga pengambilan semula neuropemancar dopamine dan serotonin. Jadi ia akan menyebabkan kebanjiran neuropemancar-neuropemancar pada ruang sinaps neuron di otak.
Bukan itu saja, methamphetamine juga mampu bertindak seperti adrenalin dan bertindak sebagai agonis terhadap reseptor alpha adrenergic yang meningkatkan tekanan darah dan degupan jantung.
Pengambilan methamphetamine dalam dos yang rendah memberikan peningkatan mood yang baik, meningkatkan kepekaan dan konsentrasi (sebab itu ia banyak digunakan oleh pelajar dan pemain game (gamer yang memerlukan kepekaan dan konsentrasi sepanjang permainan), menurunkan nafsu makan dan membantu penurunan berat badan (menjawab persoalan mengapa model cantik ambil meth).
Jika diambil pada dos yang tinggi atau penggunaan yang kerap, penggunanya akan mengalami perubahan mood dan tindak tanduk yang tidak dapat dijangka (mood swing and unpredictable behaviour). Malah ia juga membangkitkan keinginan seks, delusi dan cenderung melakukan tidak balas keganasan.

Penggunaan methamphetamine dengan kronik menyebabkan kemusnahan sel-sel otak, terutamanya sel yang menghasilkan neuropemancar dopamine. Kebanjiran dopamine pada ruang antara sinaps neuron adalah toksik dan merosakkan neuron tersebut. Tidak hairanlah jika pengguna meth menghidap penyakit seperti Parkinson diakhir usia.
Ada juga kajian yang menunjukkan kerosakan neuron pada pengguna meth adalah disebabkan oleh kesan negative dari pengaktifan microglia. Sel ini berfungsi seperti sel fagosit yang akan membunuh bakteria dan memusnahkan bahan yang boleh mengganggu sel-sel di otak. Pengguna meth kebanyakannya menunjukkan sel-sel microglia ini lebih banyak dari normal. Ia dikatakan mampu menyerang neuuron-neuron yang sihat dan merosakkannya.
Pengguna tegar juga kebiasaanya mengalami kerosakan gusi dan kehilangan gigi yang teruk (digelar ‘meth mouth’). Keadaan ini berlaku tanpa mengira bagaimanakah methamphetamine diambil (pengambilan cocaine juga menyebabkan keadaan ini tetapi hanya jika diambil dengan mulut).
Ada pelbagai lagi kesan buruk yang tidak dapat disenaraikan sepenuhnya disini. Kehilangan fungsi otak, hilang memori, fungsi kognitif, tekanan darah tinggi, gangguan pada degupan jantung dan pelbagai lagi. Jelas pengambilan methamphetamine ini tiada baiknya. Malah tabiat ini juga berupaya memusnahkan kehidupan orang lain…
Sayangi diri dan keluarga. Jauhi dadah!

Penulis: Cisplatin http://rootofscience.com

Tags: #cindy ng #Dadah #Mengenal Bahaya Dadah #Methamphetamine #wanita lawan arus #Yang Digunakan Cindy Ng