Mengadu tak sedap hati sebelum maut di litar

8661 views

Mengadu tak sedap hati sebelum maut di litar|Sebelum masuk ke litar, arwah ada mengadu rasa tidak sedap hati dan takut untuk menunggang,” kata rakan kepada Allahyarham Wan Fauzi Wan Yusuf, 49, yang meninggal dunia ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang, hari ini.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz berkata, arwah yang turut dikenali dengan panggilan ‘sifu’ atau Palo Kuba dalam kalangan rakan tiba di SIC seawal 5.55 pagi.

“Kami antara kumpulan yang terawal tiba di sana. Ketika sedang berborak sebelum masuk ke litar, arwah mengadu takut untuk menunggang, sebelum saya meyakinkan dia supaya berhati-hati dan tunggang dengan selamat.

“Sebelum pulang pada jam 12.30 tengah hari, saya sempat berborak dengan arwah. Namun sekitar jam 4 petang saya mendapat berita arwah meninggal dunia akibat kemalangan di litar SIC,” katanya ketika dihubungi.

Dia berkata, anak arwah memaklumkan bapanya dipercayai pengsan sebelum terjatuh ketika berada di selekoh terakhir lalu melanggar penghadang di sebelah kiri litar.

“Sepanjang berada di litar dan menunggang motosikal, saya perhatikan arwah tidak menanggalkan sutnya dan cuaca pada hari ini juga panas terik.

“Itu mungkin salah satu faktor arwah dipercayai pengsan sebelum terjatuh,” katanya.

“Jenazahnya dibawa ke Hospital Putrajaya dan kami semua akan ke kampung halamannya di Jerantut, Pahang, bagi memberi penghormatan terakhir serta menghadiri majlis tahlil,” katanya.

Menurutnya, mereka menyertai acara di litar Sepang untuk menguji ‘jentera’ masing-masing selain meningkatkan kemahiran menunggang.

“Arwah dikenali sebagai seorang yang berani dan sangat mesra dengan rakan-rakan malah saya sendiri sering berkonvoi bersama arwah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah mengesahkan kejadian itu dan pihaknya masih menyiasatnya.

“Punca kematian masih belum diketahui kerana perlu menunggu hasil laporan bedah siasat di Hospital Putrajaya,” katanya.

Tags: #litar #Maut #Palo Kuba