Maki Hamun Sambil Tetak 3 Beradik

5968 views

Maki Hamun Sambil Tetak 3 Beradik|“Lelaki itu memaki hamun sambil menetak dengan parang pintu rumah empat beranak berkenaan sebelum berjaya masuk.

“Keadaan sangat huru hara dengan jeritan tiga beradik serta ibunya, namun kira-kira 30 minit kemudian jeritan itu terhenti,” kata Salbiah Idris, 72.

Salbiah adalah nenek saudara kepada tiga kanak-kanak yang maut dalam kejadian amuk di Kampung Sungai Haji Muhamad, Bagan Datuk, hari ini yang turut mengakibatkan empat lagi parah.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, tiga beradik yang maut itu adalah Nur Ziah Fasihah Mohd Fadzil, 2; abangnya Muhammad Firash Zaffril, 3; dan Mohammad Faqhqih Zahirulhaq, 5.

Turut cedera dalam kejadian itu adalah ibu mangsa, Zuraidah Md Ali, 35, yang putus ibu jari kanan dan pergelangan tangan kiri hampir putus serta anak sulung Nur Zuryn Faziera, 9, yang cedera di kepala dan tangan kanan juga akibat ditetak.

Rakan sekolah anak sulung keluarga berkenaan dikenali sebagai Aina, 9, dan seorang guru agama berusia 40 tahun juga cedera dalam kejadian amuk itu.

Salbiah berkata, dia tidak berani keluar rumah dan hanya menjerit dari tingkap meminta lelaki yang juga penduduk kampung itu agar bertenang.

“Namun lelaki itu menggugut saya agar tidak masuk campur dan akan menetak jika saya hampiri.

“Saya meminta bantuan suami Abu Bakar Jalil, 72, agar mententeramkan lelaki itu tetapi suami juga tidak berani kerana lelaki terbabit bersenjatakan parang,” katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak bersebelahan rumah mangsa.

Menurutnya, selepas keadaan menjadi senyap lelaki terbabit dilihat berjalan ke arah Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhamad dan dikatakan menetak anak sulung keluarga berkenaan serta dua lagi mangsa.

“Polis tiba selepas dihubungi penduduk kampung sebelum pemeriksaan di dalam rumah mendapati dua beradik berlumuran darah di ruang tamu manakala anak yang kecil di pintu belakang rumah.

“Ibu kanak-kanak itu pula berada dalam bilik dengan kecederaan manakala nenek tiga beradik itu tidak dicederakan,” katanya.

Tags: #Maki Hamun #Sambil #Tetak 3 Beradik