“Mak Tolong Doakan Perjalanan Saya” Pesan Terakhir Ahmad Sobri Harun

1055 views

MANGSA

“Mak Tolong Doakan Perjalanan Saya” Pesan Terakhir Ahmad Sobri Harun|KUALA NERUS: “Mak tolong doakan perjalanan saya ke Sarawak nanti selamat,” itu pesanan terakhir Ahmad Sobri Harun, 26, kepada ibunya, Fauziah Musa, 53 ketika menghubungi ibunya, petang semalam.

Ahmad Sobri adalah pengawal peribadi kepada Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon yang turut berada di dalam helikopter yang dinaikinya hilang, petang semalam.

Siti Noriah Harun, 22, adik bongsu kepada Ahmad Sobri berkata, sebelum menaiki helikopter, abangnya ada menghubungi ibu mereka meminta supaya mendoakan keselamatannya ketika bertugas di Sarawak.

Bagaimanapun, ibunya tidak mengesyaki kejadian buruk bakal menimpa kerana abangnya yang juga anak keempat daripada lima beradik itu selalu menelefon ibu bapa mereka untuk memaklumkan dan memohon restu setiap kali mengikut majikannya bertugas di luar Kuala Lumpur.

Gambar terakhir yang dikirim pengawal peribadi Ahmad Sobri Harun kepada adiknya pada pukul 11.50 pagi semalam.

Gambar terakhir yang dikirim pengawal peribadi Ahmad Sobri Harun kepada adiknya pada pukul 11.50 pagi semalam.

“Kali terakhir dia pulang ke kampung di Bukit Chempaka, di sini, ialah pada 22 April lalu dan dia sempat membawa ibu dan bapa, Harun Muda, 61, makan angin di Cameron Highlands kerana sudah lama tidak berjumpa.

“Empat hari kemudian, abang pulang bekerja di Kuala Lumpur dan memaklumkan dia perlu mengikut majikannya ke Sarawak untuk membantu kempen pilihan raya di sana,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Bukit Chempaka di sini, hari ini.

Siti Noriah berkata, mereka sekeluarga hanya mengetahui berita itu selepas dihubungi oleh pegawai kementerian malam tadi dan ibu bapanya pula sudah menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur tengah hari tadi bagi mengikuti perkembangan dengan lebih dekat

“Malam tadi, saya ada menonton berita mengenai kehilangan helikopter tetapi tak sangka ia membabitkan anggota keluarga kami.

“Kami kemudiannya dihubungi oleh seorang pegawai kementerian dan sungguh terkejut serta terkedu mendengar berita itu.

“Abang adalah seorang anak yang amat bertanggungjawab dan dia selalu bertanya khabar sama ada mak ayah cukup duit atau tidak.

“Kami amat mengharapkan keajaiban dan berdoa supaya abang ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Sumber@Berita Harian

Baca lagi:

1.Kronologi Dan Gambar Penemuan Serpihan Helikopter Bawa VIP Hilang Di Sarawak

2.[7 Gambar] Dua Mayat Mangsa Nahas Helikopter Serawak Ditemui

 

 

Tags: #Mak Tolong Doakan Perjalanan Saya #Pesan Terakhir Ahmad Sobri