Lelaki Rompak Bank Berang BR1M Tak Masuk

320 views

Lelaki Rompak Bank Berang BR1M Tak Masuk|Lelaki kurang siuman menimbulkan kekecohan apabila cuba ‘merompak’ sebuah bank di Rantau, Seremban, kelmarin selepas berang masih belum menerima wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Sumber berkata, dalam kejadian 1 tengah hari, lelaki berusia 37 tahun itu ke kaunter bank untuk membuat pengeluaran sambil memarahi kakitangan bertugas.

“Tiba-tiba lelaki itu mengeluarkan pistol menyebabkan kakitangan dan pelanggan bank ketakutan. Dia kemudian memberitahu bukan mahu mengganggu kakitangan bank, sebaliknya hanya mahukan RM3,000,” katanya.

Kata sumber itu, kakitangan kaunter cuba memperdaya lelaki berkenaan dan memberitahu mahu mengambil wang di bilik belakang.

“Sebaik bergegas ke bilik itu, kakitangan itu menekan butang panik lalu menghubungi polis. Tidak lama kemudian, beberapa pelanggan bank turut bertindak menangkap lelaki itu sebelum menyerahkan kepada polis.

“Lelaki kurang siuman itu dikatakan sering datang ke bank itu dan polis merampas pistol digunakannya serta mengesahkan ia adalah pistol mainan,” katanya.

Difahamkan, lelaki itu memberitahu dia berang dan mengacukan pistol mainan kepada kakitangan bank kerana marah selepas pemeriksaan akaun mendapati wang BR1M masih belum diterimanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan suspek dibawa ke Balai Polis Rantau sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk pemeriksaan kesihatan.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Sesyen 393 Kanun Keseksaan kerana melakukan cubaan merompak.

Tags: #brim #Lelaki #rompak bank #tak masuk