Kisah janda yang masih perawan

378 views

Kisah janda yang masih perawan|Sesekali  wanita jelita ini dilihat menyeka air mata tatkala mengimbau semula kisah hidupnya sebelum menjadi Upiak Isil yang kini dikenali seantero dunia.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah Upiak kerana viral. Jika tidak kerana penangan lagu Tak Tun Tuang yang meletuskan fenomena sedikit masa lalu, tidak mustahil perjalanan hidup pemilik nama sebenar Silvia Nanda, 33, ini masih berpaksikan rona kehidupan yang sama di tempat kelahirannya di Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Indonesia.

“Alhamdulillah, saya tidak pernah termimpi untuk menjadi figura umum sebegini, sementelahan pula sudah mula menyanyi sejak berusia 13 tahun.

“Apa yang boleh saya katakan kini, segala impian sudah tercapai dan menerima dengan lapang dada meskipun semakin sibuk apabila mendapat tawaran menjadi hos, selain bakal tampil dalam dua buah filem tidak lama lagi,” getusnya kepada Sensasi Bintang.

Benar kata orang, hanya mereka yang pernah merasai kepahitan dapat mengecap betapa manisnya tatkala bangkit daripada kegagalan. Meneliti pasca viralnya ketika ini, langkah tari Upiak kini semakin memukau serta tidak lagi dibayangi imej selekehnya sebagai seorang suri rumah yang belum mandi seperti mana liriknya dalam lagu Tak Tun Tuang sebelum ini.

Lihat saja pesonanya ketika mewarnai sesi fotografi portfolio Sensasi Bintang minggu ini, tidak mustahil ramai yang tidak percaya betapa dia sebenarnya memiliki pakej sebenar sebagai seorang biduanita.

Sengaja diusik nakal sama ada dirinya kini menjadi perhatian mana-mana lelaki usai mahligai perkahwinannya terlerai sekitar tiga tahun sudah, ini jawapan jujur Upiak.

“Memang ramai yang cuba mendekati, ada yang bagus tapi ada juga yang tidak. Melihat cara berbual juga sudah tahu bagaimana niatnya.

“Saya masih memerlukan bimbingan, tidak semua apa yang saya fikirkan baik itu benar-benar baik untuk diri sendiri,” getusnya penuh makna.

Ungkap Upiak, perhubungan cinta itu bukan sekadar niat, namun bagaimana sang jejaka untuk menerimanya sebagai seorang selebriti.

“Hati sudah lama terbuka kerana saya juga mahukan keturunan, tentang apa yang akan dilakukannya bersama sama ada bangkit bersama-sama atau mahu saya lebih banyak menguruskan rumah tangga.

“Yang paling utama, jangan melarang saya untuk berkarya. Rumah tangga bukan sekadar berdua tetapi harus memikirkan kesenangan anak-anak kerana tidak mahu mereka merasai kesusahan seperti mana kita,” ceritanya lagi.

Masih perawan

Cuma di sebalik perjalanannya merencana hidup sebagai anak seni, Upiak tidak dapat lari daripada ditebak kontroversi kononnya dia bukanlah isteri yang sempurna lantaran masih perawan biarpun telah bergelar janda seperti mana yang diperdebatkan media sensasi Indonesia baru-baru ini.

Disebabkan itu, bukan sedikit wanita yang dilahirkan pada 24 Disember 1985 ini terpaksa menghadam setiap bentuk kecaman khalayak, namun segala-galanya diterima dengan berlapang dada.

“Saya tidak salahkan bekas suami, cuma keadaan tidak menyebelahi saya pada waktu itu. Saya tetap menyediakan makan minum dan menghargai keluarga mertua.

“Apa yang boleh saya katakan, saya cuma menjaga maruah sebagai wanita dan tidak sesekali akan diserahkan kepada lelaki yang tidak menghargai diri seadanya,” katanya hiba.

Upiak memberitahu, dirinya berhak untuk menjaga keperawanan kerana percaya bekas suami bukan orangnya untuk diserahkan segala-galanya.

“Apa yang orang cakap termasuk berdosa dan sebagainya, saya menyedari perkara itu. Cuma, harus tahu ada hal yang tidak boleh dipaksa-paksa,” jelasnya.

Cuma pada masa sama, tidak sekelumit pun Upiak menyimpan dendam terhadap bekas suaminya itu.

“Kita tidak boleh membenci seseorang walaupun orang itu telah melukai kita. Keluarga mereka pun pernah menjadi sebahagian daripada keluarga kita.

“Saya cuma memerlukan perhatian dan kasih sayang serta jangan melepaskan saya dalam kesusahan.

“Di saat dihimpit beban hutang termasuk terpaksa menggadaikan rumah, ternyata segala-galanya semakin sukar setelah berumah tangga dan saya tidak lagi mampu menghadapi hal-hal yang berat seperti itu,” katanya yang pernah menerima bayaran serendah RM225 (800,000 rupiah) untuk satu persembahan sebelum ini.

Tanpa berselindung, Upiak sememangnya menyukai lelaki yang berkarier serta tulus dalam perhubungan sebagai antara ciri-ciri jejaka idaman.

“Dia juga perlu bersikap humor dan jangan tertekan sehingga berlarutan di rumah. Meskipun saya benar-benar memerlukan perhatian, saya boleh tahu jika lelaki itu ada niat tidak baik terhadap diri,” ujarnya.

Menyentuh mengenai keperihalannya yang barangkali tidak diketahui umum, Upiak mengakui dirinya cukup mudah mengalirkan air mata di sebalik kesungguhannya membikin orang lain ketawa.

“Saya juga bukan seorang yang cukup rapi dan pengemas jika di rumah, namun cukup suka memasak. Kalau nak tahu, saya sanggup memasak di tengah malam jika diminta sesiapa,” jelasnya.

Aplikasi

Cukup soal peribadi, Upiak juga tidak menyembunyikan kegusaran sekiranya single-single seterusnya tidak sebegitu menyengat seperti mana Tak Tun Tuang.

“Sudah tentu terbit kerisauan, cuma jangan sampai malas untuk berkarya kerana rasa takut seperti itu.

“Rezeki ada pasang surut, jadi harus sentiasa memberikan yang terbaik. Apa hasilnya nanti, segala-galanya urusan Tuhan,” katanya.

Upiak memberitahu, selain bakal merakamkan semula Tak Tun Tuang versi dangdut, dia juga bakal tampil dengan single terbaharu berjudul Aplikasi hasil sentuhan komposer berbakat, Harry Khalifah.

“Ia mengisahkan seorang wanita yang suka menipu lelaki menggunakan aplikasi telefon pintar, dihantarnya foto-foto yang cantik, namun rupa-rupanya boleh membikin lelaki lari sebaik bertemu di dunia sebenar,” ungkapnya tertawa seraya menoktah bicara.

Tags: #Janda #Kisah #yang masih perawan