Kenali Apa Itu Senggugut|Bagaimana Mengubati Senggugut?

529 views

snSenggugut atau dismenorea merujuk kesakitan yang dialami semasa permulaan haid. Wanita mungkin mengalami kesakitan yang lebih teruk semasa dua hari pertama. Terdapat sebahagian gadis yang berumur belasan tahun mengalami senggugut yang teruk manakala ada bernasib baik cuma mengalami kesakitan yang agak sederhana atau sedikit sahaja.

Namun, masalah ini boleh mengganggu persekolahan dan kehidupan seharian remaja jika kesakitan yang dialami itu teruk dan berpanjangan. Penulis menjangkakan masalah yang dialami oleh gadis ini ialah dismenorea primer iaitu senggugut yang sering berlaku kepada wanita yang baharu (dua hingga tiga tahun) mengalami kitaran haid.

Kesakitan yang dirasai ketika datangnya haid disebabkan oleh penguncupan dinding rahim yang amat kuat. Tujuannya adalah untuk mengeluarkan ketulan darah haid yang bercampur dengan sedikit tisu daripada selaput dinding rahim (selaput endometrium).

Darah ini perlu dikeluarkan melalui saluran pangkal rahim atau serviks. Kebiasaannya, saluran pangkal rahim yang dimiliki oleh seorang gadis remaja masih sempit menyebabkan ketulan darah tersebut agak susah untuk dikeluarkan.

Hakikatnya, semasa seseorang itu didatangi haid, berlaku penguncupan dinding rahim yang begitu kuat disebabkan oleh sejenis hormon yang dikenali sebagai prostaglandin. Hormon ini ialah sejenis kumpulan molekul lipid yang berasal daripada asid lemak dan peranannya sangat penting dalam badan manusia.

Setiap prostaglandin ini mengandungi 20 atom karbon yang menjadi pengantara serta memberikan banyak kesan terhadap psikologi. Tahap kesakitan yang meningkat menunjukkan hormon ini dihasilkan secara berlebihan menyebabkan terjadinya senggugut. Prostaglandin yang berlebihan akan mengakibatkan rasa mual, cirit-birit, muntah serta sakit kepala. Lazimnya, kesakitan akan reda sebaik sahaja dua atau tiga hari kemudiannya.

Faktor lain seperti diet dan suasana persekitaran juga memainkan peranan untuk mengurangkan kesakitan yang dialami. Diet yang berlemak, rendah protein dan rendah serat boleh meninggikan risiko untuk mengalami senggugut.

Dalam beberapa kes tertentu, ubat-ubatan yang mengandungi hormon boleh membantu. Penulis mencadangkan agar remaja ini dapat melakukan senaman, mengamalkan pemakanan yang berkhasiat dan mengurangkan stres atau tekanan ketika berhadapan dengan sebarang masalah. Secara tidak langsung, masalah senggugut yang dialaminya mungkin akan berkurangan.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20141012/kn_01/Sakit-permulaan-haid#ixzz3YID9l9ze
© Utusan Melayu (M) Bhd