Kakitangan MAS Perlukan Pembelaan – Nurul Izzah

379 views

Seperti yang telah dilaporkan oleh akhbar The Star, 6000 kakitangan bakal kehilangan mata pencarian melalui skim VSS1, pada masa yang sama tidak ada sebarang kenyataan berkenaan status pengurusan teratas.

Perancangan untuk cuba menghidupkan kembali MAS melalui penyuntikan RM6 bilion sementara memberhentikan para pekerja syarikat penerbangan kebangsaan itu membawa persepsi bahawa kepentingan para pekerja tidak dibela. Malahan, soalan yang belum dijawab adalah samada pihak pengurusan teratas telah gagal untuk mengurus MAS dengan baik.

Kerajaan mengumumkan suntikan oleh Khazanah Nasional sebanyak RM6 bilion yang digelar sebagai “pelaburan” bagi menyelamatkan MAS. Tan Sri Azman Mokhtar dilaporkan berkata suntikan ini akan dapat diperolehi semula; walaupun dalam laporan yang sama beliau dilaporkan menganggap suntikan sebanyak RM7 billion yang telah diberi semenjak tahun 2001 mungkin tidak akan dapat diperolehi semula.

The Edge pada Jun tahun ini telah melaporkan bahawa bagi tahun 2013, kerugian MAS sebanyak RM1.17 bilion. Menurut Jabarullah Abdul Kadir, Setiausaha Eksekutif Kesatuan Sekerja MAS, pemberhentian pekerja seperti yang sedang dirancang ini tidak akan membaiki prestasi MAS. Menurut beliau, MAS sedang menghadapi masalah kekurangan juruterbang, krew kabin, staf kejuruteraan dan operasi lapangan terbang. Beliau menambah, “Sekiranya MAS kerugian RM4 juta setiap hari walaupun kapasiti menghampiri 80 peratus setiap penerbangan, ini bermakna ada sesuatu yang tidak betul dalam cara syarikat ini dijalankan. Pelan perniagaan ini perlu disemak semula.”

Justeru, saya ingin menuntut agar Kerajaan membuat penjelasan secara terperinci dan membentangkan laporan kewangan MAS termasuk keuntungan atau kerugian operasi daripada tahun 2008 sehingga ke hari ini kepada Parlimen bagi memastikan tiadanya tanda tanya dalam perakaunan MAS. Tambahan lagi, satu firma audit forensik antarabangsa yang bebas perlu dilantik untuk menyediakan laporan audit forensik bagi menjawab soalan-soalan rakyat mengapa MAS masih gagal mencatat keuntungan selepas beberapa percubaan penyuntikan dana.

nurul izzah_2Sehubungan ini, kerajaan juga bertanggungjawab mendedahkan kandungan perjanjian dengan syarikat-syarikat pembekal termasuk Brahim’s Holdings Bhd untuk diaudit – dalam menentukan samada perjanjian tersebut adalah adil bagi semua pihak yang terlibat.
Menurut laporan, MAS boleh menjimatkan sehingga RM300 juta setahun sekiranya perjanjian-perjanjian ini ditamatkan.
Yang nyata, penstrukturan semula buat kali ketiga ini berhak memberi justifikasi kepada tuntutan selanjutnya supaya prestasi dan kerja setiap ahli lembaga pengarah MAS diaudit kerana nampaknya mereka telah gagal untuk memastikan kejayaan syarikat penerbangan nasional ini.

Pihak pengurusan MAS yang juga harus dipertanggungjawabkan ke atas nasib para pekerja yang bakal terkesan akibat kegagalan ini. Nasib mereka tidak dibela dengan adil dan telus.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden KEADILAN

Sumber : KeadilanDaily

Tags: #Izzah #Kakitangan #Nurul #Pembelaan #Perlukan