Kaka Kembali Sarung Jersi untuk Brazil

382 views



SAO PAULO – Bekas bintang AC Milan, Kaka kembali tersenarai dalam skuad kebangsaan Brazil selepas lebih 18 bulan namanya tercicir.

Jurulatih Brazil, Dunga, hari ini menyenaraikan perancang tengah itu bagi menggantikan pemain tengah Cruzeiro, Ricardo Goulart pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Argentina pada 11 Oktober di Beijing dan Jepun pada 14 Oktober di Singapura.

Kaka, 32 berada dalam skuad Piala Dunia Brazil pada edisi 2002, 2006 dan 2010 tidak disenarai pada kempen di laman sendiri dan perlawanan terakhirnya menyarung jersi kebangsaan adalah ketika menentang Russia, Mac tahu lalu ketika Luiz Felipe Scolari masih berkuasa.

“Saya amat gembira dalam kembali beraksi,” kata Kaka. “Selepas begitu lama tidak berada dalam skuad kebangsaan, ia hadir sebagai penghargaan buat saya kerana kerja keras yang saya sudah lakukan.

“Ia membuktikan yang saya sudah melakukan sesuatu yang baik,” katanya.

Kaka menjadi bintang utama Brazil pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, kali pertama ketika Dunga menjawat jawatan jurulatih kebangsaan.

Sekalipun menampilkan aksi yang baik bersama AC Milan sebelum edisi Piala Dunia tahun ini di laman sendiri, dia tidak disenaraikan oleh Scolari.

“Saya harap dapat memberi banyak bantuan kepada pasukan dengan pengalaman saya. Saya fikir saya boleh membantu,” katanya.

Selain Goulart yang mengalami kecederaan otot, Brazil juga kehilangan khidmat pemain Chelsea, Ramires, pertahanan PSG, Marquinhos selain menambah nama penjaga gol, Marcelo Grohe dalam skuadnya.

Kaka ketika ini beraksi bersama kelab Brazil, Sao Paulo selepas dipinjamkan dari kelab Liga Major Amerika (MLS), Orlando City. – AP / BH Online

Tags: #Brazil #Jersi #Kaka #Kembali #Sarung #untuk