Jumpa dalam hutan…

1296 views

Jumpa dalam hutan…|SELEPAS hampir 15 jam dilarikan oleh individu tidak dikenali, akhirnya bayi perempuan Nur Aisyah Hazmizan berjaya diselamatkan oleh pasukan polis.

Perkara itu disahkan oleh wakil keluarga Fah Nur-Aini Syed Mustapha, 36, ketika ditemui pemberita di Unit Kecemasan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar yang turut dihadiri oleh saudara mara dan kenalan keluarga mangsa.

Fah Nur-Aini juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang turut sama mendoakan keselamatan bayi berusia 17 bulan itu dari awal hingga dia diselamatkan.

Selain itu, pihak keluarga juga mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berusaha keras dan bertungkus lumus mengesan kedudukan serta menyelamatkan Nur Aisyah.

Sementara itu, suasana di Unit Kecemasan HPSF bertukar menjadi tenang apabila sanak saudara dan kenalan keluarga mangsa menarik nafas lega serta bersyukur dengan berita positif terbabit.

NSTP difahamkan, keadaan Nur Aisyah dilaporkan stabil tetapi memerlukan pemeriksaan lanjut oleh doktor berikutan terdapat kesan gigitan serangga.

Nur Aisyah dipercayai ditemui oleh sepasukan anggota polis di kawasan semak berhampiran pencawang elektrik, tidak jauh dari rumah keluarga mangsa.

Ibu mangsa, Siti Noorfadilah Yusofe, 30, kini bersama Nur Aisyah di dalam wad di HPSF untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Manakala bapa bayi itu Hazmizan Othman, 35, berada di balai polis bagi menyelesaikan beberapa urusan berkaitan.

Difahamkan, pihak polis masih melakukan siasatan lanjut berhubung kes terbabit dan akan memberikan kenyataan dalam tempoh terdekat.

Dalam kejadian 5 pagi tadi, Nur Aisyah dilaporkan hilang dan dipercayai dibawa lari oleh individu tidak dikenali yang juga bertindak memecah masuk ke rumah keluarganya di Kampung Parit Lanjut, Mukim Sungai Terap, Muar.