Jantan tak tahu malu

977 views

Jantan tak tahu malu|Kuala Lumpur: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bekerjasama dengan Pegawai Penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi mengatasi isu pencerobohan di dalam gerabak koc wanita.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, operasi penguatkuasaan dan kempen kesedaran koc wanita dengan kerjasama Polis Bantuan KTMB dan SPAD dijalankan bagi membanteras bersama isu pencerobohan koc wanita.

Menurutnya, operasi dan kempen kesedaran itu bermula sejak kelmarin.

“KTMB dengan kerjasama SPAD kini meneliti semua tatacara pengoperasian koc wanita bagi menjamin dan memastikan koc ini digunakan khas untuk wanita saja.

“Saya menyeru orang ramai membantu dan menyokong KTMB dengan memperingati antara satu sama lain berhubung kepentingan dan sensitiviti koc khas berkenaan untuk keselesaan bersama,” katanya.

Sebelum ini seorang wanita turut meluahkan kekecewaannya melalui laman sosial Facebook (FB) apabila ada penumpang lelaki yang menceroboh koc wanita pada 16 Februari lalu.

Wan Amiasyazlia Meor, 25, menyatakan rasa kesal dengan tindakan penumpang lelaki yang tidak merasa bersalah menggunakan koc wanita di dalam komunter dinaiki.

Ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki komuter dari stesen KTM Shah Alam ke Rawang, Selangor.

“Saya menaiki KTM sejak zaman sekolah dan kejadian sebegini beberapa kali terjadi, cuma kali ini penumpang lelaki itu terlalu degil dan tidak tahu malu.

“Saya mula panas hati kerana seorang wanita yang berdiri sukar menyusukan bayinya,” katanya.

Menurutnya, setiba di stesen Subang Jaya, beliau bersuara kerana semakin ramai penumpang lelaki yang memasuki koc wanita.

“Saya tegur mereka dengan cara baik tetapi dibalas dengan kata-kata kesat.

“Paling kecewa apabila hanya saya seorang yang tampil mempertahankan hak koc wanita berkenaan dan tiada sesiapa berani bersuara dan menolong saya,” katanya.

Tags: #Jantan tak tahu malu