Inilah Padahnya Jika Mulut Celupar

685 views

celuparDi Afghanistan, seorang gadis bernama Farkhunda, lulusan diploma pengajian Islam dan dikatakan mampu menghafal al-Quran telah dipukul dengan teruk oleh orang ramai kerana kononnya telah membakar kitab suci al-Quran. Tidak hanya dibakar, dia dibelasah sebelum dibakar.

Berita-berita seumpama ini seringkali kita dengar dan ia akan terus berkumandang. Tiga tahun lalu, insiden yang sama berlaku di Pakistan.

Seorang lelaki telah diheret orang ramai kerana telah membakar al-Quran lalu dia telah disimbah dengan petrol sebelum dibakar.

Isu seperti ini tidak hanya berlaku dalam konteks agama Islam malah dalam agama lain, apabila masyarakat menghukum pesalah yang menghina agama mereka.

Dalam kedua-dua keadaan, siapakah yang sebenarnya bersalah? Mereka yang dikatakan bersalah menghina agama atau mereka yang menghukum pesalah tanpa melalui jalan perundangan?

Pada akhirnya inilah fenomena psikologi. Emosi manusia boleh mengubah keadaan yang normal menjadi luar biasa.

Ada orang yang tidak berniat untuk menghina agamanya tetapi mungkin disebabkan oleh kealpaan mengakibatkan mereka terjebak untuk melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kemarahan orang ramai.

Orang ramai yang menghukum pesalah juga tidak semestinya seorang yang begitu taat dan patuh dengan agama. Bagaimanapun kerana terdorong dengan tindakan orang lain, mereka terseret sama untuk melakukan kekejaman.

Dalam psikologi, inilah yang dinamakan sebagai keakuran. Ada orang yang terpaksa melakukan sesuatu yang dilakukan oleh orang lain bukan kerana mereka ingin melakukannya.

Sebaliknya, mereka terpaksa mengikut suara majoriti kerana bimbang dianggap sebagai orang asing dalam kumpulannya.

 

Fenomena keakuran ini boleh berlaku di mana-mana sahaja. Dalam mesyuarat sebagai contoh, adakalanya kita terpaksa bersetuju dengan pandangan ramai sekalipun kita mungkin tidak menyukai pandangan tadi.

Dalam konteks agama, fenomena seperti ini akan menjadi sesuatu yang boleh merosakkan jika tidak dikawal.

Dalam kes penghinaan agama tadi, pelaku mungkin seorang yang bersalah kerana telah mencetuskan kata-kata atau menampilkan tingkah laku yang bertentangan dengan nilai agama.

Bagaimanapun, penghakiman massa juga biasanya mengabaikan proses keadilan mengikut landasan agama. Mereka biasanya tidak melakukan siasatan secara adil, sebaliknya hanya berdasarkan emosi marah mereka pada waktu itu.

Walaupun penghina agama seorang yang bersalah, mereka mungkin mengabaikan hakikat bahawa menyeksa dan membunuh manusia juga adalah satu perbuatan yang tidak boleh dimaafkan.

Sebab itulah, setiap orang harus berhati-hati apabila bercakap atau melakukan sesuatu yang berkait dengan agama. Sekalipun kita mungkin tidak mempunyai niat untuk menghina agama, tetapi biasanya masyarakat menghukum berdasarkan emosi dan khabar angin yang tersebar .

Orang ramai akan terus percaya dengan apa yang didengar dan bersetuju dengan berita tersebut sekalipun mereka tidak melihat kejadian yang berlaku. Inilah yang dikatakan sebagai illusion of unanimity (ilusi persetujuan).

Sesuatu yang dibincangkan oleh masyarakat dianggap sebagai persetujuan bersama. Ia kemudiannya akan menyebabkan sesuatu objek atau sasaran yang dikatakan bersalah tadi akan dianggap sebagai seseorang yang sangat keji.

Sekalipun kita mungkin beranggapan bahawa hal seumpama ini tidak patut terjadi, tetapi inilah fenomena psikologi manusia.

Di Malaysia, mutakhir ini kita sering mendengar kes-kes penghinaan agama. Ia mungkin dilakukan oleh orang yang berlainan agama atau dilakukan oleh penganut agama itu sendiri. Pelaku mungkin mempunyai maksud yang berlainan dan bukan bertujuan khusus untuk melakukan penghinaan.

Bagaimanapun, tafsiran orang ramai mungkin sebaliknya. Hal yang buruk akan berlaku sekiranya ia dicetuskan oleh penganut agama yang berlainan kerana dianggap campur tangan penganut agama lain. Sekiranya kita tidak arif bagi hal-hal tertentu atau tidak bersetuju dengan sesuatu pandangan agama, maka adalah lebih baik diam daripada berkata-kata.

Kata-kata kita yang sedikit itu mungkin akan menimbulkan masalah yang besar. Apatah lagi jika kita hanya orang awam yang mungkin tidak mampu dilindungi oleh sesiapa.

Sebab itulah, tindakan pihak berkuasa bagi menangani perkara seumpama ini mungkin langkah yang perlu. Ia sekurang-kurangnya dapat mengawal keadaan yang lebih buruk daripada berlaku.

Sekurang-kurangnya pihak berkuasa akan menggunakan aspek perundangan untuk menghukum atau membebaskan pesalah. Ia adalah lebih baik daripada ‘penghakiman’ masyarakat yang berdasarkan emosi atas nama agama.

Kita semua hanyalah manusia biasa, kita juga sering melakukan kesilapan, orang lain juga adakalanya terlepas kata tanpa mereka menyedarinya.

Jalan terbaik ialah jangan biarkan ia menjadi debat yang berlanjutan. Ia bakal menimbulkan hal yang lebih buruk. Sama-samalah menjaga agama kita.