Iedil Putra Tidak Pentingkan Populariti

1608 views

aidil putra

 

 Iedil Putra tidak pentingkan populariti – 29 Nov  ,Pelakon Iedil Putra atau nama sebenarnya Tengku Iedil Putra Alaudin mengakui tidak mementingkan populariti, sebaliknya mahu orang ramai menilai bakat lakonannya.
“Tidak popular itu bukan masalah besar buat saya. Biarlah orang ramai menilai saya dari bakat lakonan dan itu mungkin lebih baik.
“Sejak awal lagi, tujuan saya terlibat dalam bidang lakonan adalah untuk menyumbang sesuatu yang baik kepada industri dan bukannya untuk meraih populariti semata-mata.
“Buat masa sekarang, saya masih mencari dan mengumpul perkara yang boleh saya sumbangkan dalam industri. Jika satu hari nanti saya dikenali, itu adalah bonus,” ujar Iedil seperti dipetik daripada laporan Sinar Harian.
Jelas Iedil lagi yang turut aktif dalam pementasan teater, dia agak selektif dalam pemilihan tawaran lakonan bagi memastikan ia memberi impak berbeza kepada para penonton.
“Saya memang selektif dalam memilih karya tapi itu bukan bermakna saya sombong dan terlampau memilih.
“Sebagai pelakon mahukan sesuatu yang berkembang dan tidak mahu bawa watak seakan sama yang tidak beri impak dari segi skripnya kerana itu hanya membuang masa,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, pelakon berusia 30 tahun ini bakal muncul dengan filem terbarunya arahan Nik Amir Mustapha berjudul “Terbaik Dari Langit”.
Filem yang telah ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Tokyo baru-baru ini mengisahkan seorang jejaka bernama Berg yang merancang sebuah pengembaraan bersama empat rakannya untuk mencari kebenaran mengenai kisah UFO.
“Terbaik Dari Langit” ini turut membarisi pelakon hebat seperti Bront Palarae, Amerul Affendi, Megat Sharizal, Sharifah Amani, Siti Saleha dan Nadiya Nisaa’.
Filem ini akan menemui penonton di pawagam bermula 25 Disember akan datang.

Tags: #Amerul Affendi #Bront Palarae #Festival Filem Antarabangsa Tokyo #Megat Sharizal #Pelakon Iedil Putra #Populariti #Sharifah Amani #Siti Saleha dan Nadiya Nisaa #Tengku Iedil Putra Alaudin #Terbaik Dari Langit #tidak pentingkan