Ibu Lihat Banyangan Anak Melambai-lambai

3138 views

Ibu Lihat Banyangan Anak Melambai-lambai|IBU kepada tiga beradik yang maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuala Kangsar- Gerik berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong, semalam, tetap tabah walaupun tidak dapat menatap wajah anaknya buat kali terakhir.

Jenazah pasangan kembar Muhammad Hanif Ismail dan Nur Ain Hanifah berusia lapan tahun serta kakak mereka Nur Ain Hafizah, 22, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kuin, Kuantan, kira-kira jam 12 tengah hari, hari ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi semalam, tiga beradik berkenaan maut manakala bapa mereka Ismail Yaacob, 53, dan ibu Zarina Yong, 44, parah dan seorang lagi anaknya Nur Ain Harizah, 13, cedera selepas Honda HRV dinaiki dirempuh sebuah treler.

Selain Honda HRV berkenaan, treler itu turut merempuh tiga lagi kenderaan lain iaitu Nissan Grand Livina, Toyota Hilux dan Nissan Sentra yang menyebabkan dua mangsa menaiki Grand Livina cedera.

Zarina ketika ditemui di Hospital Taiping sudah mengetahui pemergian ketiga-tiga anak kesayangannya itu yang dikebumikan hari ini.

“Saya reda dengan pemergian anak-anak, mereka semua menunggu saya di syurga,” katanya.

Menceritakan semula tragedi itu dia berkata, mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Terengganu dari rumah anak sulung di Baling, Kedah selepas menjemput Nur Ain Hafizah yang sedang menuntut di sebuah kolej kejururawatan di Sungai Petani, Kedah.

“Kami memang sudah dalam perjalanan untuk pulang namun berpatah balik kerana mahu singgah makan durian di Perak dan segala-galanya berlaku dalam sekelip mata sehingga saya langsung tidak sedarkan diri,” katanya

Kakak Zarina, Jamilah Yong, 51, pula berkata, naluri adiknya itu sudah berasakan bahawa tiga anaknya sudah tiada walaupun pada mulanya mereka risau untuk memaklumkan kepadanya.

“Kami pada awalnya tidak mahu memberitahu anaknya sudah meninggal dunia kerana risau dengan keadaannya yang baru sahaja menjalani rawatan namun dia sendiri memberitahu dia tahu tiga anaknya itu sudah tiada kerana dapat melihat bayangan anaknya datang menemuinya dan melambai pergi,” katanya.

Sementara itu, Nur Ain Harizah berkata, kedua-dua adik kembarnya itu memberitahu teringin untuk menaiki kereta api .

“Semasa dalam kereta ada adik saya itu beritahu nak sangat naik kereta api dan sewaktu pelanggaran berlaku, saya langsung tidak sedar hinggalah terjaga di sebuah bangsal setelah dikeluarkan dengan bantuan orang-ramai.

“Sebelum kejadian, kami sedang bermain permainan video di samping menikmati keropok dan tidak kedengaran pula bunyi hon dari lori yang melanggar kenderaan kami,” katanya

Tags: #Anak #Ibu’ #Lihat Banyangan #melambai lambai