Ibu Dapat Mimpi, Sebelum Terima Panggilan Anak Dah Tiada

4654 views

Ibu Dapat Mimpi, Sebelum Terima Panggilan Anak Dah Tiada|”Selalunya jika balik lewat Ridzuan pasti akan telefon beritahu, tapi malam tadi dia langsung tak telefon saya,” kata Rohani Saad ibu kepada Mohammad Ridzuan Zambri, 18, yang maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) Mitsubishi ASX malam semalam.

Kejadian berlaku jam 9.45 malam di Jalan Lencongan Timur berhampiran perumahan Bintang Maya, Sungai Petani, apabila motosikal jenis Yamaha C135 ditunggangi mangsa dirempuh Mitsubishi ASX dari belakang hingga tercampak di atas jalan.

Mohammad Ridzuan yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian bersama seorang lagi penunggang motosikal warga Vietnam yang turut dilanggar kenderaan itu.

Menurut Rohani, anak lelakinya itu keluar dari rumah mereka di Bagan Lalang, Butterworth jam 9 pagi untuk ke rumah saudara di Felda Teloi Timor dekat Kuala Ketil, sebelum pergi ke Balai Trafik Sungai Petani bagi membayar saman.

“Sepatutnya arwah bekerja semalam tetapi dia mengambil cuti kerana mahu bayar saman. Selepas itu dia pulang semula ke rumah saudara di Felda Teloi Timur.

“Saya tunggu jika Ridzuan telefon tapi arwah senyap sahaja, sebelum suami, Zambri Hashim menerima panggilan telefon dari pegawai polis yang memaklumkan anak kami meninggal dunia dalam kemalangan, jam 10 malam tadi.

“Saya dan suami begitu terkejut lalu bergegas ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH). Arwah menjadi harapan kami untuk membantu keluarga,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSAH.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, Koperal Mohd Joned Ismail tidak menyangka panggilan telefon daripada rakan anaknya jam 4.10 pagi tadi membawa berita pilu kematian anaknya Muhammad Zamir Eizlan, 18, akibat kemalangan di Jalan Lencongan Timur berhampiran HSAH.

“Sebelum itu saya terjaga dari tidur kerana mimpikan arwah. Jam 4.10 pagi telefon bimbit saya berbunyi dan hati berdebar-debar.

“Sebaik menjawab panggilan itu saya terkejut apabila diberitahu Muhammad Zamir terbabit dalam kemalangan dan bergegas ke sana,” katanya ditemui di HSAH.

Katanya, sebaik tiba dia tergamam diberitahu anaknya meninggal dunia dan sedih kerana arwah sepatutnya memasuki Giat Mara Bedong hujung bulan ini.

“Sebelum itu, dia ada telefon saya pada jam 10 malam dan beritahu ingin keluar bersama rakan ke Lagenda Height dan singgah di sebuah kedai nasi kandar sebelum pulang,” katanya .

Jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Keladi, Kulim selepas Asar.

Tags: #Ibu Dapat Mimpi #Panggilan Anak Dah Tiada #Sebelum Terima